Lebih 2,000 trak bantuan Gaza terkandas di sempadan Rafah

Iklan
Lebih 2,000 trak yang membawa bantuan kemanusiaan dan barangan komersial terkandas di sempadan Rafah di Mesir. Gambar fail

ISTANBUL - Lebih 2,000 trak yang membawa bantuan kemanusiaan dan barangan komersial terkandas di sempadan Rafah di Mesir, menurut kenyataan Direktorat Jeneral Kesatuan Eropah untuk Perlindungan Awam dan Bantuan Kemanusiaan pada Selasa.

"Lebih 2,000 trak yang membawa bantuan kemanusiaan dan barangan komersial sedang menunggu di Mesir, bersedia untuk masuk ke Gaza.

Iklan
Iklan

"Susulan operasi ketenteraan yang ketat, lintasan Rafah kekal ditutup. EU menyeru akses kemanusiaan yang berterusan, tanpa halangan dan selamat,” menurut kenyataan itu yang disiarkan di platform X.

Lintasan itu ditutup sejak tentera Israel melancarkan operasi di bandar selatan Rafah pada 6 Mei, lapor Agensi Anadolu.

Iklan

Perang yang bermula Oktober lalu telah menyebabkan lebih 37,000 rakyat Palestin terbunuh, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, manakala ramai orang awam cedera.

Israel juga memusnahkan sebahagian besar Semenanjung Gaza dan mengenakan sekatan terhadap wilayah itu, menyebabkan lebih dua juta penduduk di ambang kebuluran.

Iklan

Israel dituduh melakukan genosid di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ), dengan keputusan terbarunya memerintahkan Tel Aviv menghentikan segera operasinya di Rafah.

ICJ juga meminta Israel mengekalkan pembukaan lintasan Rafah bagi menyalurkan perkhidmatan asas yang sangat diperlukan dan bantuan kemanusiaan. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!