Manndzri rentasi belantara, santuni pekebun kecil

Iklan
Manndzri (duduk, tengah) bersama peserta KGMR dan penduduk Kampung Peta.

SHAH ALAM - Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) menerajui lebih 500,000 pekebun kecil getah di seluruh negara menunjukkan komitmen dalam memastikan komuniti itu terus dominan dalam penghasilan getah asli negara.

Pengerusinya, Manndzri Nasib berkata, RISDA kini menggalakkan penyertaan golongan belia dalam sektor pengeluaran getah asli negara dalam memastikan Malaysia kembali menjadi antara negara pengeluar hasil getah asli dunia.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, belia perlu mempunyai minat terhadap sektor pertanian terutamanya mereka yang berada di luar bandar dan merupakan komuniti pekebun kecil getah.

"RISDA sentiasa membuka peluang kepada golongan belia untuk menceburi sektor penanaman getah dengan menyediakan khidmat nasihat dan teknikal yang baik.

Iklan

"Ia bertujuan untuk memastikan tanaman getah juga akan membawa pulangan manfaat yang memberi kemakmuran dan kebahagiaan kepada komuniti pekebun kecil getah,” katanya menerusi satu kenyataan pada Rabu.

Manndzri (kanan) melihat hasil kraf dan beramah-mesra bersama penduduk Kampung Peta.

Terdahulu, Manndzri telah menyertai program Kembara Kelab Generasi Muda RISDA (KGMR) Johor di Kampung Peta, Mersing, Johor pada 9 hingga 10 Jun lalu.

Iklan

Program itu diadakan bertujuan untuk mengukuhkan hubungan RISDA bersama para pekebun kecil di kawasan berkenaan dan penduduknya merupakan masyarakat orang asli yang menyertai Program Tanam Semula bersama RISDA.

Program itu menjadi momen bersejarah apabila Manndzri menjadi Pengerusi RISDA pertama tiba di Kampung Peta menyertai perjalanan merentasi belantara sejauh 55 kilometer dan mengambil masa lebih dua jam 30 minit untuk tiba di kawasan yang terletak dalam kawasan Taman Negara Endau-Rompin.

Menurut Manndzri, kawasan tersebut mempunyai keluasan semasa tanam semula getah seluas 186.6 hektar yang melibatkan seramai 108 orang pekebun kecil.

"Saya yakin, dengan adanya pelbagai inisiatif yang disediakan RISDA, golongan belia boleh diberikan latihan, tunjuk ajar dan pendampingan yang baik agar kawasan ini menjadi antara kawasan pengeluar getah asli dengan penghasilan tinggi di negeri ini,” tambah Manndzri.

Mengulas lanjut, Manndzri berkata, melalui penyertaan kepada program tanam semula sebagai 'entry point' kepada pelbagai variasi progam bantuan lain, pekebun kecil yang berdaftar dengan RISDA mempunyai peluang yang lebih baik dalam meningkatkan taraf hidup mereka.

"Jika mereka menjadi peserta progam tanam semula RISDA, mereka layak untuk menerima bantuan peningkatan ekonomi seperti Program Ekonomi Tambahan dengan nilai bermula RM10,000.

"Bagi Program Agromakanan pula, bantuan dengan nilai RM20,000 sehingga RM300,000 disediakan kepada pekebun kecil dengan skop bantuan meliputi tanaman jangka pendek dan ternakan.

"Di Kampung Peta ini sahaja, terdapat 10 usahawan di bawah Program AET dan lima peserta di bawah Program Agromakanan yang menerima bantuan daripada pihak RISDA,” kata Manndzri.

Manndzri yang juga Ahli Parlimen Tenggara menegaskan untuk melihat penglibatan belia yang lebih aktif dalam sektor penanaman getah bukan hanya untuk memperkasa sektor industri itu tetapi melestarikan kemakmuran dan kebahagian komuniti pekebun kecil.

Ia selaras dengan Aspirasi Desa Madani yang dicetuskan oleh Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.