Penguat kuasa DBKL cedera ditumbuk peniaga

Iklan
Peniaga cuba menghalang peralatan perniagaan yang dirampas penguat kuasa.

KUALA LUMPUR - Seorang anggota penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) ditumbuk dua kali di pipi oleh peniaga yang tidak mempunyai lesen di Taman Tasik Titiwangsa, Isnin lalu.

Dalam kejadian jam 5.30 petang itu, peniaga yang menjual air Milo berang selepas peralatan perniagaannya disita.

Iklan
Iklan

Terdahulu, tindakan penguatkuasaan diambil Pasukan Peronda Berbasikal Jabatan Penguatkuasaan (JPK) DBKL yang melakukan rondaan dan pemantauan terhadap aktiviti perniagaan tanpa kebenaran.

Unit Media DBKL memaklumkan, peniaga terdiri pasangan suami isteri itu didapati melakukan kesalahan berniaga tanpa kebenaran dan menyebabkan kawasan persekitaran kotor.

Iklan

"Namun semasa tindakan penguatkuasaan dilakukan, lelaki berkenaan menghalang tugas anggota penguat kuasa dengan menumbuk dua kali di pipi kanan, menarik pakaian seragam dan menolaknya sehingga jatuh.

"Anggota terbabit mengalami kecederaan di bahagian tangan kanan dan lutut sebelah kiri," katanya.

Iklan
Tangan turut cedera sewaktu penguatkuasaan diambil terhadap peniaga berkenaan.

Katanya, peniaga tersebut diberikan teguran dan amaran lisan sebanyak tiga kali sebelum tindakan penguatkuasaan diambil.

"Peniaga tersebut melakukan kesalahan di bawah peruntukan Undang-Undang Kecil Taman (Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur) 2012 dan boleh dikenakan denda tidak lebih RM2,000 atau penjara tidak lebih satu tahun atau kedua-duanya sekali.

"Peralatan yang disita dihantar ke Setor Sitaan DBKL di Jalan Lombong, Cheras untuk disimpan dan didokumentasikan," katanya.

Katanya, satu laporan polis dibuat di Balai Polis Jalan Tun Razak kerana menghalang penjawat awam melaksanakan tugas.