Penyingkiran yang memeritkan

Iklan
Pemain Harimau Malaya selepas tamat perlawanan Kumpulan D pusingan kedua bagi Kelayakan Piala Dunia 2026 dan Piala Asia 2027, Malaysia menentang Taiwan di Stadium Nasional Bukit Jalil. Foto Bernama

PENGENDALI Harimau Malaya, Kim Pan-gon mengakui kegagalan mencipta sejarah layak ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026 sememangnya sesuatu yang amat memeritkan buat bola sepak negara.

Menurutnya, Malaysia mempunyai peluang cerah untuk layak selepas dua kemenangan dalam perlawanan pertama, namun segalanya berubah selepas skuad negara tewas dua kali berturut-turut kepada Oman pada Mac lalu yang sekali gus menyukarkan misi tersebut.

Iklan
Iklan

Pan-gon berkata, pendekatan strategik ketika persiapan menentang Oman itu sebagai satu kegagalan ketika saingan liga belum bermula sekali gus pemain tidak mempunyai tahap kecergasan sepatutnya untuk menghadapi perlawanan itu.

"Saya rasa semua orang kecewa dan sedih kerana kita ada peluang baik (untuk layak ke pusingan ketiga). Dua perlawanan pertama kita menang.

Iklan

"Selepas itu apa yang berlaku? Semua orang tahu dan saya tidak perlu ulang lagi. Pendekatan strategik kita gagal dan sebagai pemain serta jurulatih tidak dapat buat apa-apa mengenai perkara ini.

"Ini merupakan kempen yang amat menyakitkan dan menyedihkan. Jika tiada liga, kita perlu buat sesuatu kerana ia menjadi penentu kepada perkara seperti ini.

Iklan

"Namun, ia sudah berakhir dan kita tidak boleh menyalahkan sesiapa. Saya harap untuk masa akan datang ada perubahan dari segi pendekatan tersebut," katanya dalam sidang akhbar selepas perlawanan menentang Taiwan di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Selasa.

Skuad negara menamatkan aksi Kumpulan D Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 di kedudukan ketiga dengan 10 mata di belakang Kyrgyzstan (11 mata) dan juara kumpulan, Oman (12 mata).

Ia sekali gus menyaksikan Harimau Malaya gagal mara ke pusingan ketiga Piala Dunia dan perlu beraksi pada pusingan terakhir kelayakan untuk mara ke Piala Asia 2027.

Rekod kempen kelayakan kali ini tidaklah begitu teruk buat skuad negara dengan mencatatkan tiga kemenangan, satu seri dan dua kekalahan.

Tewas dua kali kepada Oman di Muscat dan Stadium Nasional Bukit Jalil pada Mac menjadi titik perubahan kepada perjalanan skuad Harimau Malaya susulan ketiadaan aksi kompetitif dan saingan Liga Malaysia (Liga M) belum bermula.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!