KUANTAN - Empat lokasi jualan khas sempena sambutan Hari Raya Aidiladha akan dibuka bagi membolehkan orang ramai mendapatkan barangan mentah bermula Sabtu ini.
Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Malaysia (FAMA) Pahang, Saiful Sadri berkata, lokasi pasar tani bagi jualan itu akan diadakan di Pekan, Jerantut dan di daerah ini.
"Ini bagi memudahkan orang ramai berbelanja dengan tawaran dengan harga yang menarik," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Rabu.
Beliau memberitahu setakat ini bekalan seperti ayam, daging, sayuran termasuk santan dan barangan keperluan mencukupi.
Jelasnya, barang keperluan itu dijual pada harga yang tidak melebihi harga siling ditetapkan oleh kerajaan.
"Bekalan untuk musim perayaan di pasar tani tiada masalah, cuma kita menunggu harga siling yang akan dikeluarkan KPDN (Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup)," katanya.
Saiful turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang pembelian panik.
Jelasnya, pengguna membeli barangan keperluan pada harga berpatutan sekali gus memperlihatkan ketersediaan bekalan agromakanan adalah mencukupi.
"Selain barangan segar seperti daging, ayam dan sayur-sayuran, pengguna juga berpeluang untuk mendapatkan bekalan juadah Aidiladha seperti ketupat, rendang, lemang dan kuih-muih untuk keperluan hari raya, yang turut dijual,” jelasnya.
Menjawab mengenai sasaran kutipan Karnival Jualan Agro Madani yang diadakan di PTK Chini bermula esok, Saiful memberitahu, pihaknya menyasarkan jualan sebanyak RM200,000 sepanjang tiga hari program itu diadakan.
Beliau juga menjangkakan kira-kira 100,000 pengunjung akan meriahkan karnival tersebut.
"Kita yakin dapat mencapai sasaran itu (jualan RM200,000) berdasarkan strategi dan perancangan yang telah diatur bersama 60 usahawan tani terlibat.
"Malah, kita membantu pengguna mendapatkan barangan asas pada harga yang berpatutan bagi mengurangkan kos sara hidup yang semakin meningkat kini," katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!