PUTRAJAYA - Selepas hampir dua jam, bekas Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad selesai memberi keterangan kepada Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan.
Dr Mahathir keluar meninggalkan bangunan Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang Jabatan Perdana Menteri (BHEUU) di sini pada jam 12.30 tengah hari.
Sebelum itu, beliau sempat menemui pemberita yang bertugas dan memaklumkan satu sidang akhbar akan diadakan di pejabatnya di Kompleks Yayasan Kepimpinan Perdana (YKP) di sini pada Rabu.
"Saya akan berjumpa dengan pemberita berkenaan dengan pemikiran saya yang mana bukan rahsia.
"Apa yang berlaku di sini (prosiding RCI) adalah rahsia dan saya tidak akan menyentuh mengenainya," katanya.
Terdahulu, Dr Mahathir tiba jam 10.46 pagi disambut oleh beberapa pegawai beliau antaranya bekas Timbalan Menteri Luar, Datuk Marzuki Yahya.
Pada perkembangan sama, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan Negarawan itu untuk memulakan semakan kehakiman supaya RCI Bagi Mengkaji Pengendalian Perkara Berkaitan Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan, dijalankan secara terbuka.
Mahkamah juga menolak permohonan Dr Mahathir yang memohon perintah larangan Tun Md Raus Sharif daripada bertindak sebagai Pengerusi RCI.
Turut ditolak, permohonan untuk menghalang Datuk Dr Baljit Singh Sidhu dan Datuk Mohammed Ridha Abd Kadir daripada menjadi ahli RCI.
Pada 2008, Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) mengisytiharkan Batu Puteh milik Singapura, Batuan Tengah milik Malaysia, dan Tubir Selatan menjadi hak kepada negara perairannya berada.
Malaysia memohon kepada ICJ supaya mentafsirkan penghakiman pada 2017.
Bagaimanapun pada tahun 2018, pentadbiran Pakatan Harapan (PH) yang dipimpin Dr Mahathir menarik balik permohonan semakan dan pentafsiran penghakiman Batu Puteh.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!