SHAH ALAM - Kerajaan Persekutuan dan negeri-negeri melalui Majlis Kewangan Negara yang diberi peranan oleh Perkara 108 Perlembagaan perlu membincangkan secara serius berhubung penyusunan semula hasil kewangan negeri.
Pakar perlembagaan, Profesor Madya Dr Muhammad Fathi Yusof berkata, antara perkara yang perlu dipertimbangkan adalah mewujudkan pemberian tetap khusus untuk pengurusan air kepada negeri-negeri seperti adanya pemberian khas bagi jalan negeri.
"Ia perlu dirangka berasaskan formula yang adil dengan mengambil kira saiz negeri dan jumlah penduduk. Diharapkan pemberian tetap ini dapat meningkatkan kecekapan pengurusan bekalan air bersih kepada rakyat.
"Sebenarnya, pemberian ini juga berdasarkan semangat bahawa negeri telah memberikan kuasa percukaian secara umum kepada kerajaan Persekutuan ketika Persekutuan Tanah Melayu dibentuk sewaktu merdeka, maka kuasa yang diberikan perlu dibalas dengan pemberian wajib ini,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Rabu.
Sinar Harian pada Selasa melaporkan, Kerajaan Johor memohon agar sekurang-kurangnya 30 peratus hasil cukai negeri diberikan kepada Johor.
Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, permohonan yang dibuat sejajar dengan titah Pemangku Sultan Johor bagi memastikan Bangsa Johor terus mendapat limpahan hasil negeri untuk segala pembangunan negeri ke tahap yang lebih baik.
Selain itu, Muhammad Fathi berkata, kerajaan juga perlu mempertimbangkan saranan mewujudkan pemberian khas berasaskan jumlah cukai pendapatan dan korporat yang dikutip dalam sesebuah negeri.
Menurutnya, langkah itu dilihat sebagai salah satu insentif kepada kerajaan negeri dalam memajukan ekonomi.
"Kaedah dan pelaksanaan pemberian ini perlu telus dan adil berdasarkan prinsip Perlembagaan. Ringkasnya, kerajaan Persekutuan perlu bertindak segera bagi menangani keprihatinan Pemangku Sultan Johor.
"Keprihatinan tersebut mungkin mewakili hasrat Raja-Raja Melayu yang mengharapkan kesaksamaan dalam amalan sistem Persekutuan. Kegagalan kerajaan Persekutuan menangani persoalan penting ini hanya meningkatkan semangat kenegerian,” ujarnya.
Tambah Muhammad Fathi, tuntutan kerajaan Johor tersebut menggambarkan hasrat negeri yang mengalami kekangan dalam pengurusan kewangan.
"Kesungguhan kerajaan negeri untuk memajukan negeri sehingga mewujudkan kepesatan ekonomi dan meningkatkan hasil negara seolah-olah tidak dihargai melalui ganjaran yang setimpal.
"Maka, mekanisme pemberian ‘pulangan’ dari hasil cukai korporat dan pendapatan kepada negeri boleh dijadikan dorongan kepada kerajaan negeri untuk menggiatkan pembangunan ekonomi.
"Tetapi kaedah ini hanya dapat dilaksanakan melalui pindaan Perlembagaan,” katanya lagi.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!