SEPANG - Dua lelaki berhadapan dengan hukuman mati selepas dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini pada Rabu atas pertuduhan mengedar dadah jenis methamphetamine seberat 38.85 kilogram bulan lepas.
Shamsuddin Fung Muhammad Tai Kwong, 36, dan Vincent Wong Siang Hee, 34, masing-masing mengangguk dan mengatakan mereka faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Muhammad Bukhori Md Ruslan, bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan.
Dua lelaki itu didakwa secara bersama mengedar dadah berbahaya jenis berkenaan pada 30 Mei lepas kira-kira jam 6.30 pagi di pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Aras2, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Terminal 2 (KLIA 2).
Pertuduhan terhadap mereka dikemukakan mengikut Seksyen 39B (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah 39B(2) akta yang sama.
Kesalahan itu memperuntukkan hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dan hendaklah dihukum sebat tidak kurang 15 sebatan jika tidak dijatuhi hukuman mati.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Sabrina Zubairi manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Ahmad Hafiz A Bakar.Mahkamah kemudian menetapkan 10 September ini untuk sebutan semula kes dan serahan laporan kimia.
Media sebelum ini melaporkan polis menahan dua lelaki tempatan serta merampas 38.8 kilogram dadah jenis syabu bernilai lebih RM1.2 juta di KLIA 2di sini pada penghujung Mei lepas.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan dalam satu sidang media berkata, seorang lelaki yang berusia 34 dipercayai keldai dadah ditahan kerana membawa dua bagasi berisi 37 bungkusan plastik disyaki syabu manakala seorang lagi yang berumur 36 tahun pula disyaki terbabit kegiatan pengedaran dadah ditahan di sebuah hotel berdekatan. - Bernama
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!