Sanusi diingatkan berhenti retorik murahan, hormati prinsip riparian

Iklan
Laporan Sinar Harian. Muhammad Faiz (kanan).

GEORGE TOWN - Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dinasihatkan supaya menghormati prinsip riparian iaitu membenarkan semua pemilik tanah menggunakan sumber air dari Sungai Muda termasuk Pulau Pinang.

Pengerusi Amanah Pulau Pinang, Muhammad Faiz Fadzil berkata, Pulau Pinang memiliki sebahagian daripada Sungai Muda kerana laluan sungai itu melalui negeri ini sebelum memasuki Selat Melaka.

Iklan
Iklan

Justeru katanya, Pulau Pinang berhak menggunakan air berkenaan selagi tidak mengganggu penggunaan di Kedah.

"Isu air Sungai Muda tidak harus dipolitikkan dan dijadikan bahan kempen menjelang Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Bakap dengan membangkitkan sentimen dalam kalangan rakyat," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Iklan

Menurutnya, tindakan Muhammad Sanusi mengulangi retorik tersebut dilihat sebagai keinginannya memulakan perang ekonomi antara Pulau Pinang dan Kedah berikutan air adalah asas pembangunan ekonomi.

"Sanusi dinasihatkan mencari punca pendapatan lain untuk mengeluarkan Kedah daripada kemiskinan mutlak yang tinggi berbanding mengharapkan duit percuma.

Iklan

"Kita tidak mahu satu hari nanti, semua sungai di Malaysia difederalisasikan atau diletakkan bawah kuasa kerajaan Persekutuan akibat daripada perbalahan antara kerajaan negeri," tambahnya.

Dalam pada itu, Muhammad Faiz turut menasihatkan Muhammad Sanusi supaya menguruskan air Kedah dengan lebih bertanggungjawab.

"Pada ketika ini, peratus air tanpa hasil (NRW) Kedah telah melebihi 50 peratus yang bermaksud, paip dan saluran air di Kedah tidak diselenggara dengan baik oleh Kerajaan Pas.

"Ini menyebabkan lebih 50 peratus air dirawat hilang sebelum sampai ke rumah pengguna. Di Pulau Pinang, NRW ini jauh lebih rendah iaitu 26 peratus yang mana, pelbagai usaha terus diambil untuk mengurangkan kadar ini," katanya.

Beliau berkata, di Kedah, krisis bekalan air terus berlaku di Merbok, Sungai Petani dan Kuala Kedah.

"Dua buah projek menaik taraf Loji Rawatan Air (LRA) Bukit Selambau dan LRA Sungai Limau yang sepatutnya boleh menyelesaikan masalah air masih lewat disiapkan.

"Sehubungan itu, menjelang PRK Sungai Bakap, saya berharap pengundi memahami kegagalan dan ketidakupayaan Perikatan Nasional terutama Pas dalam memberikan pentadbiran yang baik," ujar beliau.

Beliau turut meminta pengundi untuk memilih calon Kerajaan Perpaduan yang boleh membawa kemajuan di Sungai Bakap dan Pulau Pinang.

"Ini masanya untuk membetulkan kesilapan lepas. Kerajaan Pulau Pinang sedang mengambil langkah konkrit untuk mengatasi apa jua masalah yang berlaku di Sungai Bakap termasuk isu bekalan air," katanya.

Sebelum ini, Muhammad Sanusi berkata, Kerajaan Kedah sedia menjual bekalan air bersih kepada Pulau Pinang bagi mengatasi isu air yang membelenggu penduduk Nibong Tebal sejak sekian lama khususnya di kawasan Sungai Bakap.

Beliau berkata, pihaknya mempunyai lebihan air bersih di LRA Lubuk Buntar dan bersedia untuk disalurkan ke negeri ini sekiranya Kerajaan Pulau Pinang ingin membeli.

Bagaimanapun, tawaran Muhammad Sanusi itu ditolak oleh Ketua Menteri, Chow Kon Yeow dengan mengingatkan kembali Muhammad Sanusi agar terlebih dahulu menjaga negerinya yang masih banyak kawasan berdepan masalah bekalan air.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!