Selangor catat 27.6 juta pelawat domestik, tertinggi 2023

Iklan
Selangor sekali lagi muncul sebagai negeri yang menerima kunjungan pelawat domestik tertinggi iaitu seramai 27.6 juta orang pada 2023. - Gambar hiasan, gambar kecil: Mohd Uzir

SHAH ALAM - Selangor sekali lagi muncul sebagai negeri yang menerima kunjungan pelawat domestik tertinggi iaitu seramai 27.6 juta orang pada 2023.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata, jumlah berkenaan diikuti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Sarawak dengan masing-masing mencatatkan 22.2 juta serta 17.9 juta pelancong.

Iklan
Iklan

"Daripada jumlah keseluruhan, Johor menunjukkan peningkatan jumlah pelawat domestik paling ketara iaitu 42.7 peratus bersamaan 8.92 juta pelancong berbanding 6.25 juta pada 2022.

"Prestasi tahunan pelancongan domestik di Malaysia mengalami peningkatan yang drastik tahun lalu dengan jumlah perbelanjaan mencatatkan RM84.9 bilion, berbanding RM64.1 bilion pada 2022," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Iklan

Dalam pada itu beliau memaklumkan, prestasi memberangsangkan bagi perbelanjaan tersebut didorong peningkatan jumlah perbelanjaan pelancong iaitu 34.4 peratus dan pelawat harian sebanyak 29.7 peratus.

Tambahnya, perbelanjaan pelancong adalah penyumbang majoriti iaitu sebanyak 61.5 peratus (2022: 60.7 peratus).

Iklan

Jelas Mohd Uzir, perbelanjaan tertinggi pelawat domestik adalah membeli-belah iaitu 36.3 peratus (2022: 38.9 peratus), diikuti makanan dan minuman sebanyak 16.3 peratus (2022: 15.2 peratus) dan pembelian bahan api kenderaan dengan 13.2 peratus (2022:13.8 peratus).

Ujarnya, melawat saudara-mara dan rakan kekal sebagai penyumbang utama bagi tujuan pelancongan domestik iaitu 33.6 peratus (2022: 33.7 peratus), namun ia masih belum mengatasi peratusan yang dicatatkan pada tahun pra-pandemik iaitu 42.3 peratus.

"Jumlah perjalanan domestik menunjukkan peningkatan ketara iaitu 16.2 peratus apabila pelancong melakukan 241.5 juta perjalanan dalam negara tahun lalu.

"Bagaimanapun, purata bilangan hari menginap (ALOS) menurun kepada 2.45 malam berbanding 2.55 malam pada tahun sebelumnya," jelasnya.

Mengulas lanjut Mohd Uzir berkata, perbelanjaan pelancongan domestik bagi suku pertama 2024 merekodkan RM24.1 bilion iaitu melonjak 25.3 peratus tahun ke tahun.

Menurutnya, bilangan pelawat domestik di Malaysia mengalami lonjakan yang ketara untuk merekodkan 58.6 juta pelawat domestik bagi suku pertama 2024, meningkat 19.0 peratus berbanding suku yang sama tahun sebelumnya.

Ujar beliau, perbandingan suku tahun ke suku tahun, pelawat domestik meningkat 6.5 peratus berbanding suku keempat 2023.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!