SHAH ALAM - PLUS Malaysia Berhad (PLUS) akan mengaktifkan 18 laluan Smart Lane di beberapa lokasi tumpuan bagi membantu melancarkan pergerakan trafik di lebuh raya menjelang cuti perayaan Aidiladha akan datang.
Syarikat konsesi itu dalam satu kenyataan memaklumkan, lorong kecemasan sedia ada akan dibuka sebagai laluan tambahan bagi mengoptimumkan penggunaan semua lorong dan meningkatkan kapasiti di laluan kritikal lebuh raya.
"Orang ramai boleh mengenal pasti laluan Smart Lane melalui pemasangan lampu hijau berkelip untuk menunjukkan laluan berkenaan diaktifkan dan boleh digunakan.
"Selain itu PLUS turut meletakkan papan tanda pemberitahuan dan peringatan di lokasi-lokasi Smart Lane terlibat," menurut kenyataan itu pada Rabu.
Dalam pada itu PLUS menjelaskan, Smart Lane boleh digunakan oleh kenderaan ringan, persendirian atau penumpang dengan memasuki lorong kecemasan untuk sementara waktu sebelum diarah masuk semula ke laluan utama lebuh raya bagi meneruskan perjalanan.
Walau bagaimanapun, pengguna dilarang memandu di lorong kecemasan lain yang tiada laluan Smart Lane diaktifkan.
"PLUS akan memastikan tiada penutupan lorong untuk kerja-kerja penyelenggaraan pada 12 Jun hingga 19 Jun ini, namun pengecualian diberikan untuk kerja-kerja kecemasan, pengalihan kemalangan serta pembaikan kritikal.
"Untuk mengagihkan trafik, PLUS turut menyediakan jadual perjalanan digital menerusi aplikasi MyPLUS-TTA," ujarnya.
Syarikat konsesi itu turut memaklumkan, sebanyak 32 lokasi tandas awam telah ditambah baik di kawasan rehat dan rawat (R&R) termasuk hentian sebelah serta plaza tol antaranya Restoran Jejantas Sungai Buloh, R&R Machap (arah Utara), Hentian Sebelah Pedas Linggi serta beberapa lokasi lain.
Orang ramai boleh mendapatkan maklumat trafik dengan mengikuti aplikasi X @PLUSTrafik, aplikasi PLUS, Chatbot PUTRI, papan tanda elektronik di lebuh raya dan saluran stesen radio utama negara.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!