SHAH ALAM - Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) menyelar tindakan menggunakan sumber kerajaan dalam setiap pilihan raya kerana ia bercanggah dengan prinsip perlawanan politik atas padang yang sama rata.
Bersih dalam satu kenyataan berkata, pelanggaran etika dalam beberapa siri pilihan raya oleh Kerajaan Madani akan menghakis keyakinan rakyat khususnya pengundi terhadap proses demokrasi di negara ini.
Menurutnya, semua menteri di peringkat negeri mahupun Persekutuan perlu mengetahui batasan dan peranan mereka sepanjang tempoh berkempen.
"Kami telah menggariskan larangan semasa pilihan raya iaitu tidak bersyarat, tidak berkempen dan tidak bawa calon supaya tidak berlaku salah guna sumber kerajaan yang diamanahkan oleh rakyat.
"Namun amalan tidak beretika ini masih berterusan daripada satu pilihan raya ke satu pilihan raya.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan sumbangan sebanyak RM290,000 kepada sembilan masjid dan 20 surau di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap, Nibong Tebal, Pulau Pinang.
Sumbangan bersempena dengan perayaan Aidiladha yang akan disambut oleh umat Islam pada 17 Jun ini itu disampaikan oleh Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin di Masjid Abu Ubaidah Ibni Al-Jarrah, Bandar Tasek Mutiara.
Mengulas lanjut, menurut Bersih, Kerajaan Madani perlu sedar bahawa ‘gula-gula’ pilihan raya akan menghakis kepercayaan rakyat.
Tambahnya, meskipun dahulu sewaktu menjadi pembangkang, mereka sering membantah amalan itu, namun ia menjadi kelaziman selepas menjadi kerajaan.
"Pemberian peruntukan ini tidak akan menjadikan kerajaan lebih popular, bahkan akan dilihat menggunakan kaedah yang dahulu dikecam sebagai tidak adil.
"Pengumuman sebegini sudah menjadi kelaziman baharu kepada Kerajaan Madani apabila menjelang pilihan raya kecil, walhal isu penggunaan sumber kerajaan semasa tempoh pilihan raya acapkali dibantah oleh mereka sewaktu menjadi pembangkang,” katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!