Aedy Ashraf puas hati dapat 'kecek Kelate'

Iklan
Aedy Ashraf berkongsi rasa teruja apabila diberi peluang menjayakan watak yang mengetengahkan jati dirinya iaitu sebagai anak Kelantan.

AKTOR Aedy Ashraf berkongsi rasa teruja apabila diberi peluang menjayakan watak yang mengetengahkan jati dirinya iaitu sebagai anak Kelantan.

Ujar Aedy, 30, tidak ramai yang mengetahui dia dilahir dan dibesarkan di Kelantan dan masih mempunyai saudara-mara yang menetap di negeri Cik Siti Wan Kembang itu.

Iklan
Iklan

"Secara jujurnya sudah lama saya mahukan karakter yang memerlukan saya bercakap dialek Kelate (Kelantan). Saya memang berasal dari Kelantan, ayah saya orang Kelantan dan masih ada saudara-mara di sana.

"Cuma sepanjang 20 tahun berkecimpung dalam industri, tidak pernah lagi saya ditawarkan watak yang mengetengahkan jati diri saya. Bahasa Perak, Kedah dan Pahang pun saya sudah berjaya buat.

Iklan

"Jadi bila ada sesi uji bakat, saya memang tunjuk kebolehan saya dan tidak sangka penulis skrip beritahu karakter itu dekat dengan bayangan watak Beja," katanya.

Aedy bersama barisan pelakon utama Kahar Kapla High Council. Dari kiri:Thompson Goh sebagai Li, Sky Iskandar (Megat), Amir Ahnaf (Kahar), Aedy (Beja) dan Khenobu (Jojo). Foto Astro Shaw

Aedy atau nama penuhnya, Mohammad Addy Ashraf Rosmadi berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran filem Kahar Kapla High Council di Tropicana Damansara pada Selasa.

Iklan

Dalam pada itu, berkongsi lanjut penglibatannya dalam naskhah arahan Razaisyam Rashid itu, Aedy berkata, dia begitu teruja apabila diminta menjalani uji bakat.

Katanya, sewaktu menyaksikan siri Projek: High Council tahun lalu, dia merasa satu kerugian kerana tidak turut serta dalam karya yang mempunyai kualiti baik dari sudut pengarahan, skrip mahupun lakonan.

"Sebelum ini saya terlibat dalam Projek: Anchor SPM (pada tahun 2021) dan saya sudah tutup 'zaman persekolahan' saya dengan siri itu, tetapi bila saya tonton Projek: High Council, saya terfikir kenapa mereka tidak ajak saya berlakon juga.

"Jadi bila mereka ajak uji bakat untuk filem, saya memang tidak fikir panjang. Walaupun saya dah lama dalam industri, saya tidak melihat sesi uji bakat ini untuk tahu anda bagus atau tidak, sebaliknya untuk tahu anda sesuai atau tidak untuk sesuatu watak itu," jelasnya.

Tambah Aedy, biarpun belum memasuki set penggambaran Kahar Kapla High Council, dia melihat filem sebagai sebuah karya hebat dan berbeza.

Jelasnya, skrip yang ditulis Anwari Ashraf bersama Luqman Alhakim Sheikh Ghazali sangat hebat.

"Mereka juga ada proses sebelum penggambaran yang solid dan padat tetapi best. Saya rasa tak akan ada lagi sebuah cerita budak sekolah yang best selain ini.

"Banyak mesej yang disampaikan menerusi watak saya dan juga watak lain yang terlibat," katanya yang teringin menerokai cabang lain seperti pengarahan dan penerbitan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!