KOTA BHARU - Pengguna jalan raya di negeri Kelantan yang mempunyai video mengenai kesalahan penunggang motosikal boleh terus berkongsi dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk tindakan segera.
Pengarah JPJ negeri Kelantan, Mohd Misuari Abdullah berkata, jabatan itu akan mengambil pendekatan lebih agresif terhadap penunggang motosikal berikutan kekerapan kemalangan maut membabitkan golongan itu.
Menurutnya, jabatan itu kini semakin bertegas membendung kesalahan di jalan raya termasuk aktiviti perlumbaan haram membabitkan golongan remaja.
"Kalau boleh rakam, silakan hantar kepada kami dan risikan akan terus dilakukan.
"Jika kesalahan itu melibatkan remaja bawah umur, ibu bapa selaku pemilik kenderaan akan dipanggil dan boleh dikenakan tindakan," katanya ketika sidang akhbar Ops Lejang (Kawasan Perindustrian Pengkalan Chepa) pada Rabu
"Kita sudah lama bersabar dan melaksanakan advokasi melalui Unit Keselamatan Jalan Raya melalui kempen umum, pendidikan di sekolah dan pameran namun mereka lebih berminat mencabar undang-undang.
"Kita mewajibkan kelas sebelum mereka mengambil lesen kenderaan supaya tahu peraturan jalan raya dan kaedah memandu dalam keadaan selamat," katanya.
Jelasnya lagi, pemegang kenderaan itu sebenarnya sudah terdidik dengan peraturan jalan raya tetapi berdegil untuk patuh pada peraturan.
Beliau turut menasihatkan ibu bapa memantau pergerakan anak-anak yang memiliki motosikal serta mengenali rakan mereka bagi mengelak terlibat dengan aktiviti lumba haram.
Jpj kelantan akan sentiasa mengadakan risikan dan tindakan penguatkuasaan dari masa ke masa membabitkan seluruh kawasan yang dikenal pasti bagi mengekang aktiviti yang menyalahi undang-undang.
Dalam pada itu Mohd Misuari turut memaklumkan akan melaksanakan operasi sempena Hari Raya Aidiladha di tujuh hot spot di sekitar Kota Bharu.
"Operasi ini akan memfokuskan kepada penunggang motosikal dan mat rempit yang mungkin akan mengambil peluang sempena cuti perayaan," katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!