Subsidi bersasar langkah positif ke arah dasar lebih adil, mampan - Gabenor BNM

Iklan
Abdul Rasheed. Gambar fail Bernama

KUALA LUMPUR - Peralihan daripada subsidi menyeluruh termasuk diesel, kepada sokongan yang lebih bersasar untuk mereka yang memerlukan perlu dialu-alukan sebagai langkah yang positif ke arah dasar yang lebih adil dan mampan seiring dengan membina ruang dasar fiskal, kata Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Abdul Rasheed Ghaffour.

Beliau berkata, tempoh kestabilan makroekonomi yang secara relatif stabil pada masa ini memberi peluang unik untuk melaksanakan pembaharuan yang bermakna dan membina masa depan yang lebih cerah.

Iklan
Iklan

"Kita tidak boleh, atau tidak seharusnya menganggap bahawa peluang ini akan sentiasa terbuka untuk negara. Kita perlu bersatu untuk menjadikan pembaharuan ini satu realiti bagi Malaysia,” katanya dalam ucapan alu-aluan di Simposium Sasana 2024 di sini pada Rabu.

Gabenor itu berkata, keperluan untuk pembaharuan adalah jelas.

Iklan

"Persekitaran ekonomi kita sentiasa berubah. Oleh itu, dasar kita perlu berkembang seiring dengan risiko dan kelemahan yang dikenal pasti.

"Pembaharuan yang merangkumi tanggungjawab fiskal, penambahbaikan jaringan keselamatan sosial serta peningkatan daya tahan iklim adalah mustahak untuk pertumbuhan negara kita yang mampan serta untuk kesejahteraan rakyat,” katanya.

Iklan

Mengulas tentang Simposium Sasana, beliau berkata, ia bukan sekadar ucaptama dan perbincangan teknikal yang mendalam.

"Simposium ini juga akan mengetengahkan bahawa pembaharuan dan dasar bukan sekadar konsep dan idea abstrak, malah pembaharuan mampu memberikan kesan positif pada kehidupan rakyat Malaysia,” kata Abdul Rasheed,

Sebagai contoh, beliau berkata, bahawa program iTEKAD yang merupakan program kewangan sosial yang dilancarkan oleh BNM semasa kemuncak pandemik telah menunjukkan kemajuan.

"Kami sukacita ingin berkongsi pada hari ini bahawa lebih 6,000 perniagaan kecil dan mikro telah mendapat manfaat daripada iTEKAD, dengan jualan bulanan meningkat hampir 90 peratus dan mewujudkan peluang pekerjaan dalam kalangan komuniti mereka,” katanya.

iTEKAD adalah program penaung yang diwujudkan oleh BNM bagi membantu usahawan mikro berpendapatan rendah memperkukuh pengurusan kewangan dan kepintaran dalam perniagaan ke arah menjana pendapatan yang berterusan.

Setiap program iTEKAD menggabungkan penyediaan aset perniagaan yang dibiayai oleh instrumen kewangan sosial seperti derma, pelaburan impak sosial, zakat dan wakaf tunai dengan kewangan mikro, berserta latihan kewangan dan perniagaan yang berstruktur. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!