KUALA LUMPUR - Ekonomi Malaysia diunjurkan berkembang antara empat dan lima peratus pada 2024, disokong oleh eksport yang pulih dan permintaan domestik yang berdaya tahan, kata Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.
Beliau berkata, perdagangan yang pulih akan disokong oleh kitaran meningkat teknologi global dan pemulihan seterusnya dalam aktiviti pelancongan.
"Perbelanjaan isi rumah akan disokong oleh pendapatan dan pekerjaan yang bertambah baik. Aktiviti pelaburan akan dipacu oleh kemajuan seterusnya dalam projek pelaburan untuk tempoh beberapa tahun oleh sektor awam dan swasta,” katanya dalam ucaptama pada Sasana Symposium 2024 anjuran Bank Negara Malaysia (BNM) di sini pada Rabu.
Beliau berkata, pelaksanaan inisiatif pemangkin di bawah pelbagai pelan induk seperti Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) dan Rancangan Malaysia Ke-12, akan meningkatkan lagi pelaburan.
Oleh itu, Amir Hamzah berkata, kerajaan komited untuk melaksanakan pembaharuan struktur yang bermakna kerana ini adalah perlu untuk membina Malaysia yang lebih makmur dan inklusif.
Dalam perkara ini, katanya pembaharuan strategik yang melibatkan pelbagai langkah sedang dilaksanakan untuk menyokong usaha ini.
"Pertama, meningkatkan asas dengan mewujudkan lebih banyak ruang fiskal dan menjadikan bahagian ekonomi lebih besar untuk lebih banyak penyertaan.
"Kedua, menaikkan siling dengan meningkatkan perlindungan sosial dan ketiga, mewujudkan tadbir urus yang baik,” katanya.
Beliau berkata, Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal (FRA) dan Rangka Kerja Fiskal Jangka Sederhana (MTFF) adalah langkah penting untuk meluaskan dan mempelbagaikan asas hasil.
Selain itu, katanya, Malaysia berada pada kedudukan yang baik untuk mendapat manfaat daripada penyusunan semula rantaian nilai global.
"Untuk memanfaatkan sepenuhnya peluang ini, kami memberi keutamaan kepada dasar untuk menarik pelaburan berkualiti tinggi yang meningkatkan daya saing ekonomi kita dan mewujudkan pekerjaan bernilai tinggi,” katanya.
Oleh itu, katanya, dengan memacu pembaharuan struktur ini, Malaysia akan meningkatkan daya saing globalnya berbanding negara-negara lain yang turut berusaha untuk meningkatkan potensi pertumbuhan mereka, menangani defisit fiskal dan meningkatkan kecekapan sumber. - Bernama
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!