BEIJING - Suhu panas mencecah paras tertinggi di bahagian utara dan tengah China pada minggu ini manakala kemarau menjejaskan tanaman-tanaman penting ketika negara di seluruh Asia berdepan cuaca ekstrem, lapor Reuters.
Menurut peramal cuaca, China berdepan panas terik selama beberapa hari di mana suhu mencecah 43 darjah Celsius di wilayah Hebei utara pada Rabu.
Pusat Meteorologi Kebangsaan (NMC) juga memberi amaran pada Selasa mengenai kesan suhu yang melambung tinggi terhadap bekalan tenaga, pengeluaran tanaman dan kesihatan orang awam.
Menurut data rasmi, China telah mengalami cuaca panas luar biasa sepanjang tahun dengan purata suhu dari Mac hingga Mei pada tahap tertinggi sejak pernah direkodkan pada tahun 1961.
NMC berkata, lebih 20 stesen cuaca di utara Hebei dan wilayah timur Shandong mencatatkan suhu bermusim yang tinggi dalam tempoh sepuluh hari pertama pada Jun.
Pada masa sama, India juga dilanda gelombang haba yang berpanjangan dengan suhu melebihi 50 darjah Celsius pada akhir Mei lalu. Negara itu telah merekodkan hampir 25,000 kes strok haba dan 56 kematian sejak Mac.
Panas melampau yang melanda sebahagian besar negara Asia Tenggara pada April lalu telah merekodkan ratusan kematian, merosakkan tanaman dan sekolah terpaksa ditutup.
Saintis berkata, gelombang haba menjadi lebih teruk akibat perubahan iklim disebabkan manusia. - Agensi
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!