BEAUFORT - Bau najis haiwan dari atas siling terutama pada waktu hujan menyebabkan seramai 42 pelajar Tingkatan Enam di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gadong, di sini, belajar dalam keadaan yang kurang selesa.
Ia berlaku disebabkan bumbung bangunan yang menempatkan kelas mereka rosak dan siling mereput akibat terkena air hujan.
Disebabkan itu, mereka juga terpaksa berpindah ke kelas lain selain disebabkan faktor keselamatan.
Sehubungan itu, rata-rata pelajar Tingkatan Enam berharap penyelenggaraan bumbung bangunan kelas mereka yang rosak itu dapat dipercepatkan menerusi peruntukan yang dikemukakan oleh Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS) pada Rabu.
Seorang lagi pelajar Shahrul Ramadhan San berkata, bau dari najis haiwan yang berada di atas siling akan keluar dan menyebabkan mereka terpaksa belajar dalam keadaan tidak selesa.
"Begitu juga dari segi keselamatan, kami bimbang juga sebab kedaan blok bangunan yang sudah lama.
"Jika dipulihkan bangunan ini, pelajar lain yang akan memasuki kelas ini dapat menggunakannya dalam keadaan selesa," katanya.
Menurut pelajar, Siti Notrivita Morris, 19, keadaan itu berlarutan sejak semester lalu apabila mereka terpaksa belajar dalam keadaan yang kurang selesa disebabkan bumbung bocor dan menyebabkan siling mereput.
"Walaupun tidak terkena air ketika hujan disebabkan siling bocor sebab kami dilarang untuk masuk ke bilik tersebut tetapi tidak selesa disebabkan bau tersebut dan ini menganggu proses pembelajaran kami," katanya ketika ditemui pemberita di sekolah tersebut pada Selasa.
Siti Notrivita yang juga Presiden Majlis Perwakilan Pelajar berkata, walaupun mereka dipindahkan ke kelas lain untuk sementara tetapi tetap merasakan sesi pembelajaran dalam keadaan yang kurang kondusif.
"Tidak juga terlalu sempit selepas dipindahkan ke kelas lain, namun keadaan yang padat membuatkan kami tidak juga terlalu selesa," katanya.
Sebelum itu, Sinar Harian melaporkan Exco Pendidikan Sabah, Datuk Mohd Arifin Mohd Arif memaklumkan bahawa permohonan sebanyak RM500,000 akan dikemukakan kepada Kementerian Ekonomi untuk tujuan menyelenggara bumbung bangunan tersebut.
Permohonan peruntukan kecemasan itu dibuat selepas Mohd Arifin yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah bersama Pengarah Pendidikan Sabah, Datuk Raisin Saidin dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Beaufort melakukan lawatan ke sekolah tersebut pada Selasa.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!