KOTA KINABALU - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah pada Rabu menahan seorang penjawat awam kerana disyaki menerima rasuah kira-kira RM15,000 daripada sebuah syarikat pembalakan.
Menurut sumber, suspek seorang lelaki berumur 40-an telah ditahan di pejabat SPRM Sabah di sini kira-kira jam 10 pagi semasa hadir memberi keterangan.
Iklan
Iklan
Siasatan awal mendapati, pada September 2019 suspek meminta rasuah kira-kira RM30,000 dan telah menerima wang rasuah kira-kira RM15,000 daripada syarikat itu sebagai dorongan untuk meringankan impak laporan kesalahan aktiviti pembalakan haram.
Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, Datuk S Karunanithy ketika dihubungi pemberita mengesahkan penahanan itu dan kes sedang disiasat di bawah Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009.
"Suspek dilepaskan dengan jaminan berjumlah RM10,000 serta seorang penjamin dan dijangka akan dituduh di mahkamah dalam masa yang terdekat,” katanya.
Beliau juga mengingatkan kepada penjawat awam di Sabah agar tidak terlibat dengan gejala rasuah kerana ia akan merosakkan imej jabatan dan mencerminkan penjawat awam tidak berintegriti. - Bernama
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!