IPOH: Seorang lelaki ditahan bagi membantu siasatan kes kematian ibunya yang ditemukan dengan kesan kecederaan di bahagian kepala di Dataran Tasek Timur 5, Anjung Bercham Utara dekat sini pada Rabu.
Mangsa ditemukan dalam keadaan tertiarap di belakang pintu ruang tamu rumahnya.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, tangkapan terhadap lelaki berusia 30-an itu dilakukan bagi tujuan saringan air kencing.
"Bagaimanapun, tiada petunjuk ditemui untuk diklasifikasikan sebagai bunuh.
"Kes setakat ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut," katanya ketika dihubungi di sini.
Abang Zainal Abidin berkata, mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik, Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk dibedah siasat bagi mengetahui punca sebenar kematian.
Sementara itu, anak perempuan mangsa dikenali sebagai Denish, 27, berkata, nasi goreng ayam kunyit yang dibelinya tengah malam tadi menjadi hidangan terakhir buat ibunya.
"Hanya ada abang tinggal bersama ibu malam tadi.
"Pagi ini ada buat pemeriksaan kesihatan sempat buat panggilan tetapi ibu tidak angkat sehinggalah rakan memaklumkan yang ibu sudah meninggal dunia," katanya.
Denish berkata, kejadian menimpa ibunya amat menyedihkan namun menyerahkan segala siasatan kepada pihak polis.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!