KETUA Jurulatih Lang Merah, Aidil Sharin Sahak mengakui anak buahnya perlu bekerja keras dua kali ganda untuk menghadapi FC Seoul bagi aksi pusingan ketiga kelayakan AFC Champions Legaue (ACL) 2020 di laman lawan pada 28 Januari ini.
Jelasnya, kualiti yang dimiliki kelab-kelab di Korea Selatan adalah lebih baik berbanding pasukannya namun beliau percaya Kedah masih mempunyai peluang untuk meloloskan diri ke peringkat seterusnya kerana di dalam sukan bola sepak apa-apa pun boleh terjadi.
"Bukan mudah untuk beraksi di pentas ACL dan mendapat keputusan yang baik seperti ini (tewaskan Tai Po FC 5-1). Kita perlu terus fokus pada aksi seterusnya dan melupakan segera kemenangan ini.
"Kita berdepan tugas yang lebih berat dan mencabar bertemu FC Seoul kerana perlu beraksi di dalam perubahan cuaca yang cukup besar. Keadaan cuaca di sana adalah 2 celcius berbanding di sini 36 celcius," katanya pada sidang media selepas perlawanan pusingan kedua kelayakan ACL 2020 bertemu Tai Po FC di Stadium Darul Aman semalam.
Menurut Aidil, pemain-pemainnya juga perlu segera untuk kembali cergas dan menempuh perjalanan jauh untuk ke sana termasuk melakukan persiapan rapi dalam tempoh kurang seminggu yang ada.
"Ini satu permulaan yang baik kerana untuk beraksi di pentas ACL bukan semua pasukan mempunyai peluang terbaik ini. Pada aksi seterusnya kita mengharapkan yang lebih baik daripada mereka kerana kita tidak boleh mudah berpuas hati dengan kejayaan yang diperoleh sebelum ini," katanya.
Mengulas aksi pasukannya membelasah Tai Po FC dengan jaringan 5-0, Aidil memuji semua pemainnya kerana berjaya mengikut taktikal selain beraksi sebagai sebuah pasukan sepanjang tempoh 90 minit.
Jelasnya, kelab Hong Kong itu mempunyai kualiti tersendiri kerana berupaya memberikan kesukaran kepada pemain-pemainnya mengatur permainan termasuk menjaringkan satu gol saguhati menerusi Chan Man Fai hasil satu serangan pantas pada minit ke-67.
Kipre Tchetche mempamerkan belang pada perlawanan tersebut apabila melakarkan hatrik pada minit ke-3, 21 dan 90 manakala Hadin Azman turut mencuri tumpuan hampir 20,000 penyokong setia Kedah di Darul Aman dengan jaringan menariknya pada minit ke-46 dan 65.