Dugaan jadi 'tetamu tak diundang' di Tanah Suci

Iklan
Cuaca panas luar biasa juga dijangka memberi cabaran besar kepada jemaah pada musim ini.

RIYADH - Warga emas dari Mesir berusia 70 tahun ini 'bersembunyi' di sebuah apartmen di Makkah selama beberapa minggu dengan harapan untuk menunaikan ibadah haji yang tidak mengikut prosedur sepatutnya pada musim kali ini.

Mohammed adalah antara puluhan ribu individu yang mahu mengerjakan rukun Islam kelima dengan harga murah.

Iklan
Iklan

Jemaah haji tidak berdaftar dikatakan dapat menjimatkan kos sebanyak ribuan dolar, namun mereka berdepan risiko ditahan dan dideportasi jika tertangkap.

"Saya telah memohon permit haji rasmi di Mesir selama lebih 10 tahun. Tetapi, tidak bernasib baik,” kata Mohammed merujuk kepada dokumen yang diperuntukkan di bawah sistem kuota untuk setiap negara dan diedarkan di Kaherah melalui loteri.

Iklan
Papan iklan yang memberi peringatan tentang keperluan permit haji dipaparkan di sebuah pusat beli-belah di Riyadh.

Meskipun berjaya meraih permit, pakej perjalanan paling murah yang ditawarkan adalah kira-kira AS$3,700 (RM17,371), kos yang dianggap agak tinggi oleh Mohammed.

Dia turut berkongsi sebumbung dengan tujuh individu lain dan mereka hanya keluar apabila benar-benar perlu.

Iklan

"Saya bersedia untuk hadapi cabaran pada tahun ini dengan cuaca agak panas. Perkara paling utama ialah saya dapat mengerjakan haji,” katanya.

Data rasmi menunjukkan lebih 1.8 juta jemaah menunaikan ibadah tersebut pada tahun lalu.

Bagi mengelakkan kesesakan ketika musim haji, pihak berkuasa bertindak tegas terhadap kumpulan jemaah yang tidak mendapatkan permit sah.

"Kawasan Makkah sangat terhad. Kehadiran golongan tidak berdaftar akan menjejaskan program awal yang telah dirangka pemerintah,” kata jurucakap pihak berkuasa.

Saudi mengambil langkah tegas terhadap 'jemaah tidak diundang' bagi mengelakkan kesesakan luar biasa pada musim haji.

Di bawah peraturan ditetapkan, denda yang dikenakan bermula pada 10,000 riyal (RM12,518) termasuk ke atas mereka yang membawa masuk golongan itu.

Sejak bulan lalu, pihak berkuasa telah menahan 20 individu yang terlibat sindiket penipuan dan kebanyakan daripada mereka adalah warga Mesir.

Bagi memberi peringatan kepada semua, papan tanda tertera 'tiada haji tanpa permit' turut dipaparkan di beberapa lokasi awam termasuk pusat beli-belah.

CABARAN BESAR

Kewujudan bakal jemaah haji secara tidak sah semakin berleluasa selepas visa pelancong diperkenalkan pada 2019 yang bertujuan untuk memudahkan pengunjung ke Saudi.

"Masih terdapat pelbagai cara untuk membawa masuk mereka ke Arafah. Saya mempunyai 100 bas yang boleh ke sana ketika musim haji. Bolehkah ia dikesan? Sudah semestinya mustahil,” kata seorang ejen pelancongan yang merahsiakan namanya.

Musim haji pada tahun ini akan mencabar fizikal dan mental para jemaah berikutan purata suhu dijangka mencecah 44 darjah Celsius.

Bagi golongan jemaah tidak berdaftar, risiko mereka adalah lebih besar kerana ketiadaan akses ke khemah berhawa dingin.

Ada yang terpaksa menumpang tidur di masjid dan di tepi jalan.

Warga Mesir hanya dikenali sebagai Ayman, 37, yang menyertai musim haji pada tahun lalu secara tidak berdaftar turut berkongsi pengalaman sukar.

"Sangat mencabar bagi 'jemaah visa pelancong'. Tiada langsung perkhidmatan asas.

"Perkara paling utama, fokus untuk beribadah juga agak terganggu kerana sentiasa cuba mengelakkan diri daripada bertembung pihak berkuasa,” katanya sambil tertawa apabila mengimbau semula detik tersebut. - AFP

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!