SEBUT sahaja nama Donald Trump pasti ramai yang berkerut dahi, Presiden Amerika Syarikat (AS) berkenaan amat sinonim dengan kontroversi yang kebanyakannya berpunca daripada dirinya sendiri.
Terbaharu bilionair hartanah yang juga Presiden AS ke-45 itu mempersoalkan mengapa dirinya tidak tercalon untuk Hadiah Nobel Keamanan pada tahun lalu.
"Saya mahu beritahu anda tentang Hadiah Nobel Keamanan. Saya telah membuat satu perjanjian, saya telah menyelamatkan sebuah negara dan saya mendengar ketua negara terbabit mendapat Hadiah Nobel Keamanan kerana menyelamatkan negara itu.
"Saya berkata, bukankah saya turut terlibat. Biarlah, apa yang penting kita semua tahu mengenainya, saya telah menyelamatkan sebuah perang besar malah saya telah menyelamatkan beberapa perang.
Begitu antara sedutan video ucapan Presiden AS itu kepada penyokongnya ketika berkempen di Toledo, Ohio pada 9 Januari lalu yang dikongsikan di laman Twitter.
Walaupun Trump tidak menamakan pemenang Hadiah Nobel Keamanan yang disebut dalam ucapannya namun jelas pemimpin berkenaan merujuk kepada Perdana Menteri Ethiopia, Abiy Ahmed.
Ahmed, 43, merupakan ketua kerajaan termuda di Afrika. Beliau dilantik pada bulan April 2018 susulan protes antikerajaan selama berbulan-bulan yang memaksa Perdana Menteri terdahulu meletak jawatan.
Menurut Jawatankuasa Nobel Norway, Ahmed diberi penghormatan itu berikutan inisiatif menyelesaikan konflik sempadan dengan negara jiran, Eritrea yang telah memisahkan banyak keluarga.
Perang sempadan Ethiopia-Eritrea dari tahun 1998 hingga tahun 2000 meragut puluhan ribu nyawa sehinggalah pada bulan Julai 2018 apabila Ahmed dan Presiden Eritrea, Isaias Afwerki menandatangani perjanjian damai.
Sejak tahun 1901, Anugerah Nobel yang bertitik tolak daripada wasiat Alfred Bernhard Nobel atau lebih dikenali sebagai Alfred Nobel itu memberi penghormatan kepada lelaki dan wanita dari seluruh pelusuk dunia susulan pencapaian cemerlang dalam bidang fizik, kimia, fisiologi atau perubatan, sastera dan kerja-kerja keamanan dan bermula pada tahun 1969, Anugerah Sains Ekonomi bagi mengenang Alfred Nobel turut diperkenalkan.
Dilahirkan di Stockholm, Sweden, pada 21 Oktober 1833, Nobel merupakan seorang ahli kimia, jurutera dan industrialis yang mencipta dinamit dan bahan letupan. Keluarganya merupakan keturunan Olof Rudbeck, genius teknikal terkenal di Sweden pada kurun ke-17.
Fasih bertutur pelbagai bahasa dan berkebolehan menulis puisi dan drama, Nobel turut berminat dalam isu sosial dan berkaitan keamanan serta mempunyai pandangan yang dianggap radikal pada zamannya.
Pada 27 November 1895, Nobel menandatangani wasiat terakhirnya di Swedish-Norwegian Club di Paris. Apabila wasiat tersebut dibacakan selepas kematiannya pada tahun 1896 ia menimbulkan kontroversi di Sweden dan peringkat antarabangsa kerana Nobel mewasiatkan sebahagian besar hartanya kepada penubuhan satu anugerah.
Malah keluarganya turut membantah Hadiah Nobel dan ia mengambil masa lima tahun sebelum Hadiah Nobel pertama diberikan pada tahun 1901.
Sejak itu setiap tahun, ribuan ahli akademik, profesor universiti, saintis, penerima terdahulu Anugerah Nobel dan ahli-ahli majlis Parlimen diminta mengemukakan calon-calon untuk anugerah tersebut bagi tahun berikutnya. Selepas menerima semua pencalonan, Jawatankuasa Nobel bertanggungjawab memilih calon berkelayakan.
Proses pencalonan bagi Hadiah Nobel yang menawarkan pingat, diploma peribadi dan wang tunai itu bermula pada bulan September setiap tahun dan tiada individu dibenarkan mencalonkan diri sendiri.
Satu fakta menarik, nama-nama calon dirahsiakan selama 50 tahun berikutnya sebagai langkah mengelakkan sebarang bentuk tindakan melobi bagi pihak calon.
Berbalik kepada Trump, ini bukan kali pertama Presiden AS itu menyatakan beliau wajar menerima Hadiah Nobel.
Terdahulu, Trump menegaskan beliau sepatutnya menerima Hadiah Nobel berikutan pelbagai sumbangan namun mendakwa jawatankuasa pemilihan anugerah tersebut tidak berlaku adil.
Pemimpin itu turut mempersoalkan Anugerah Nobel yang diterima bekas Presiden AS, Barack Obama pada tahun 2009 namun menurut Jawatankuasa Nobel Norway, Obama menerima hadiah itu berikutan usaha luar biasa mengukuhkan diplomasi antarabangsa.
Pada Februari tahun lalu, Trump mengumumkan Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe mencalonkan beliau untuk Hadiah Nobel Keamanan susulan usaha mendamaikan Korea Utara dan Korea Selatan namun Abe tidak mengesahkan sama ada perkara itu benar.
Sementara itu, Presiden Korea Selatan Moon Jae-in dilaporkan pernah berkata Trump layak menerima Hadiah Nobel susulan usaha nyahnuklear di Semenanjung Korea malah Trump turut mendakwa beliau menyelamatkan tiga juta nyawa daripada serangan di wilayah Idlib, Syria dengan memberitahu rejim Assad, Rusia dan Iran tentang serangan di rantau terbabit.
Di sebalik semua sebab diutarakan Trump, adakah Presiden AS terbabit layak menerima hadiah penuh berprestij itu?.
Jawapannya tiada siapa yang tahu namun jika melihat situasi semasa dan pelbagai kontroversi yang melanda Trump ketika ini sama ada di peringkat domestik atau antarabangsa, pemimpin berusia 73 tahun itu bukanlah ikon pilhan ramai.
Keputusannya sering dianggap tidak profesional dan terburu-buru, misalnya keputusan mengarahkan serangan yang meragut nyawa komander kanan Pasukan Pengawal Revolusi Iran (IRGC), Leftenan Jeneral Qasem Soleimani pada 3 Januari lalu.
Namun sikap tebal muka Trump menyebabkan beliau beranggapan seolah-olah keputusannya itu tidak mempunyai sebarang akibat buruk sekiranya Iran membalas dendam kematian Soleimani.
Malah Trump semakin berani mendabik dada dan berasakan dirinya sebagai hero penyelamat dunia. Jika satu hari nanti Trump menerima Hadiah Nobel Keamanan, mungkinkah nasibnya sama seperti Aung San Suu Kyi.
Menerima Hadiah Nobel Keamanan pada 1991, Penasihat Negara Myanmar itu diselar masyarakat dunia kerana gagal membela nasib pelarian Rohingya susulan kempen kekerasan oleh tentera negara terbabit dan ramai menyeru agar anugerah tersebut ditarik balik.
INFO:
Antara penerima Hadiah Nobel Keamanan dari tahun 2015 hingga tahun 2019
1) Hadiah Nobel Keamanan 2019 - Perdana Menteri Ethiopia, Abiy Ahmed atas usaha mencapai keamanan dan kerjasama antarabangsa terutama inisiatif menyelesaikan konflik sempadan dengan Eritrea.
2) Hadiah Nobel Keamanan 2018 - Denis Mukwege dan Nadia Murad atas usaha mereka menamatkan keganasan seksual sebagai senjata perang dan konflik bersenjata.
3) Hadiah Nobel Keamanan 2017 - International Campaign to Abolish Nuclear Weapons (ICAN) atas usaha menarik perhatian ramai tentang akibat penggunaan sebarang senjata nuklear dan usaha mencapai perjanjian berdasarkan larangan terhadap senjata seumpama itu.
4) Hadiah Nobel Keamanan 2016 - Juan Manuel Santos atas usaha bekas Presiden Colombia itu menamatkan perang saudara selama 50 tahun
5) Hadiah Nobel Keamanan 2015 - National Dialogue Quartet atas sumbangan membina demokrasi di Tunisia susulan Revolusi Jasmine pada tahun 2011.