Kjey lakar rekod Asia senaman tanpa henti

Iklan
Kjey bersama ibunya, Sukunamalar yang menjadi pendorongnya untuk melakarkan kejayaan

LIPIS - Pelatih kecergasan, K Jey Prabakaran Thevar, 27 atau lebih dikenali Dr Kjey melakar rekod Asia selepas mencatatkan tempoh 13 jam tanpa henti senaman kardio dan angkat berat pada Rabu.

Memulakan senaman tersebut pada petang Selasa, anak jati Pahang kelahiran Lipis itu menamatkannya pada jam 10.30 pagi di sebuah gimnasium dekat sini.

Iklan
Iklan

Kejayaan tersebut menerima pengiktirafan Asia Book of Record yang disampaikan oleh presidennya, Selvarani Muthiah di sini pada Rabu.

Kjey melakukan pelbagai rutin senaman kardio sepanjang tempoh 13 jam tanpa henti

Menurut Kjey, persediaan rapi bagi rekod terbabit telah dibuat sejak Februari lalu.

Iklan

"Sudah pasti rasa gembira dan bersyukur kerana dapat sekali lagi melakukan rekod ini sekaligus dapat mengharumkan nama Malaysia dan Pahang sendiri," katanya lagi.

Kjey bersama sijil dan plak pengiktirafan rekod Asia Book of Records yang diterimanya pada Rabu

Mengulas lanjut, Kjey mengakui sokongan padu keluarga terutama ibunya, S Sukunamalar, 66, banyak mendorongnya untuk terus melakar beberapa rekod selain dorongan rakan-rakan yang membantunya sepanjang persediaan senaman tersebut.

Iklan

Ditanya perancangannya selepas ini, dia ingin melakar rekod dunia untuk Guinness World Record pada September depan.

"Saya akan kembali memulakan latihan dan persediaan tidak lama lagi supaya sasaran ini dapat dicapai," jelas Kjey.

Sebelum ini, pada 23 Julai tahun lalu, anak jati Pahang kelahiran Lipis itu berjaya mencatatkan tempoh selama 12 jam tanpa henti, sekali gus melakar rekod dalam Influencer Book of World Records dan Malaysia Book of Records (MBOR).

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!