Jemaah haji Malaysia perlu terus jadi contoh

Iklan
Mohd Naim (tengah) ketika melancarkan program Kebersihan Masyair di Hotel Land Premium semalam.

MAKKAH - Jemaah haji Malaysia bagi musim 1445H/2024M digesa agar terus menjadi contoh terbaik kepada jemaah haji negara lain terutama dalam aspek kebersihan ketika operasi Masyair yang akan bermula Jumaat ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Naim Mokhtar berkata, jemaah haji Malaysia sememangnya terkenal dengan disiplin yang baik dan beliau menggesa prestasi ini diteruskan dalam program Kebersihan Masyair tahun ini.

Iklan
Iklan

"Program ini adalah untuk mengajak jemaah haji Malaysia melaksanakan salah satu daripada tanggungjawab sebagai umat Islam dan juga sebagai jemaah haji yang bertanggungjawab,” katanya selepas merasmikan program Kebersihan Masyair di Hotel Land Premium, di sini, semalam.

Turut hadir ialah Pengerusi Tabung Haji (TH), Tan Sri Abdul Rashid Hussain; Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Syed Hamadah Syed Othman; serta Ketua Rombongan Haji Malaysia, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman.

Iklan

Mohd Naim berkata, jemaah haji perlu memperluaskan pemahaman konsep ibadah yang turut meliputi aspek kebersihan.

"Saya tekankan dalam ucapan saya bahawa jemaah haji perlu memahami dan memperluaskan pemahaman konsep ibadah. Sebab apa yang kita faham ibadah khusus seperti solat, puasa, zakat dan sebagainya.

Iklan

"Tetapi ibadah itu sebenarnya lebih luas, menjaga hubungan dengan jemaah haji lain juga satu ibadah. Jaga persekitaran juga sebahagian daripada ibadah,” katanya.

Selain itu, katanya, jemaah haji perlu memahami konsep ta’awun yang dapat memupuk sikap kerjasama dalam membersihkan kawasan di Masyair, selain dapat mengukuhkan silaturahim antara jemaah haji.

"Apabila ada semangat kerjasama dalam membersihkan Masyair in, kita akan nampak kawasan yang ditinggalkan oleh jemaah Malaysia dalam keadaan bersih,” katanya.

Menurutnya, kerajaan Arab Saudi memuji keadaan di Arafah yang ditinggalkan oleh jemaah haji Malaysia dan berharap rakyat Malaysia terus boleh menjadi contoh kepada jemaah haji negara lain.

"Apabila saya bercakap dengan jemaah, mereka sememangnya menghayati dan mahu pastikan program ini berjaya. Kalau lihat apa yang berlaku tahun lepas saya yakin keadaan di Masyair pada tahun ini akan lebih baik berbanding tahun lepas,” katanya.

Berdasarkan tinjauan pada musim haji sebelum ini, ada sesetengah khemah jemaah haji Malaysia di Arafah ditinggalkan dalam keadaan lebih bersih berbanding sebelum ketibaan mereka, malah ada yang bergotong-royong menyusun tilam, selimut serta bantal dengan lebih kemas dan teratur.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!