Lelaki disyaki baling molotov cocktail ditahan

Iklan
MPV Toyota Unser yang dirampas kerana disyaki digunakan dalam kegiatan itu. Gambar kanan: Suspek berusia 25 tahun ditahan di Kuala Lumpur pada Rabu. (Gambar kecil: Zainol)

MELAKA - Polis menahan seorang lelaki berusia 25 tahun disyaki terlibat dalam kejadian membaling molotov cocktail ke arah sebuah kenderaan di hadapan rumah di Taman Mengkuang, Masjid Tanah di sini pada Khamis lalu.

Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah berkata, individu itu ditahan di Kuala Lumpur selepas polis menerima laporan berkaitan kes khianat kenderaan dibakar yang dibuat oleh mangsa berusia 38 tahun.

Iklan
Iklan

Menurutnya, berdasarkan laporan polis, mangsa yang merupakan seorang wanita mendakwa kejadian berpunca daripada hutang ah long kerana sebelum ini keluarganya juga pernah diganggu lintah darat.

Beliau berkata, maklumat awal yang diperolehi, pemilik rumah memberitahu anak saudara lelakinya yang bekerja di Singapura telah meminjamkan akaun bank miliknya kepada rakan, bagi membuat pinjaman wang sebelum lelaki terbabi melarikan diri.

Iklan

"Berdasarkan laporan polis, sepasukan pegawai dan anggota Cawangan D7 Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka bersama anggota Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah berjaya menahan suspek pada Rabu," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Jelas beliau, hasil risikan yang dilakukan mendapati suspek bekerja dengan sebuah syarikat pinjaman wang di Singapura dengan bayaran RM1,000 bagi setiap tugasan khianat bom petrol.

Iklan

Dalam pada itu, Zainol berkata, pengakuan awal yang dibuat suspek, mengakui terlibat dalam dua kes bom petrol di Masjid Tanah, Melaka dan di Setiawan, Perak membabitkan kerugian RM10,000.

Katanya, suspek mendakwa mempelajari cara membuat bom petrol melalui Youtube dan mengambil upah kerana ingin melangsaikan hutang ah long selepas terlibat dengan permainan judi di Genting Highland.

"Polis turut merampas sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Unser kerana disyaki digunakan dalam kegiatan itu.

"Permohonan reman ke atas individu itu akan dilakukan pada hari ini bagi membolehkan siasatan lanjut dilakukan di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan," katanya lagi.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!