INTER Miami akan menjadi kelab terakhir kapten Argentina, Lionel Messi bermain, kata penyerang berusia 36 tahun itu, sambil mengakui mula berasa sedikit bimbang memikirkan mengenai persaraannya.
Messi, pemenang Piala Dunia bersama La Albiceleste pada 2022, mempunyai kontrak dengan kelab Liga Bolasepak Utama (MLS) tersebut sehingga 2025 selepas bermain bersama juara Ligue 1 Perancis, Paris Saint-Germain (PSG).
"Inter Miami akan menjadi kelab terakhir saya. Saya suka bermain bola sepak. Saya lebih menikmati segala-galanya kerana sedar bahawa semakin kurang yang tinggal....
"Saya belum bersedia untuk meninggalkan bola sepak. Saya telah melakukan ini sepanjang hidup, saya suka bermain bola sepak, menikmati latihan, hari ke hari, perlawanan.
"Dan ya, sentiasa ada sedikit kebimbangan. bahawa semuanya sudah berakhir," kata Messi.
Sebagai rekod, pemenang Ballon d'Or lapan kali Messi sedang bersiap sedia bersama La Albiceleste untuk mempertahankan kejuaraan Copa America menjelang edisi Amerika Syarikat, dengan kejuaraan itu bermula di Amerika Syarikat pada 20 Jun.
Argentina akan menentang Kanada dalam perlawanan pembukaan 21 Jun sebelum berdepan saingan Kumpulan A, Chile pada 25 Jun dan Peru empat hari kemudian.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!