Tidak serik walau lapan kali jadi penghuni penjara

Iklan
Lelaki menghidap penyakit jantung antara 28 individu ditahan dalam operasi di Guar Nenas, Gurun, semalam, walaupun sudah lapan kali masuk penjara.
ALOR SETAR - Seorang lelaki yang ditahan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) semalam masih tidak serik menagih dadah walaupun sudah lapan kali menjadi penghuni penjara.

Lelaki berusia 48 tahun yang ditahan di Guar Nenas, Gurun malah turut mengakui mengalami sakit jantung.

Ketua Pegawai AADK Daerah Kuala Muda Arnida Ishak berkata, dalam operasi sama, pihaknya turut menahan seorang warga emas berusia 65 tahun bersama 27 individu lain di lokasi itu.

Katanya, warga emas terbabit mengakui telah menagih dadah jenis morfin selama 40 tahun dan pernah menjalani rawatan pemulihan di pusat pemulihan dan hukuman penjara.

"Ketika operasi, beberapa penagih dadah bertindak agresif melarikan diri dengan menunggang motosikal secara laju dan melulu sehingga mencederakan beberapa anggota polis," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Melalui kenyataan itu juga, beliau memberitahu kesemua individu ditahan yang ditahan berusia antara 23 hingga 64 tahun.

"Seramai 16 individu positif methamphetamine dan morfin manakala 12 lagi positif morfin. Mereka akan disiasat di bawah Seksyen 3 (1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 pindaan 1998," katanya.

Katanya, seramai 22 suspek akan direman di lokap Kuala Muda dan lokap Kampung Selamat, Pulau Pinang, manakala enam lagi diberi ikat jamin.

Arnida berkata, port berkenaan adalah lokasi panas yang menjadi tumpuan penagih untuk melepaskan gian dan mendapat bekalan dadah.