SHAH ALAM - Universiti Teknologi Mara (UiTM) terus mengekalkan prestasi dalam menegakkan Matlamat Pembangunan Lestari (SDGs) apabila berjaya memperoleh kedudukan pada tangga 101-200 seluruh dunia dalam Times Higher Education (THE) Impact Rankings 2024.
Naib Canselor UiTM, Profesor Datuk Dr Shahrin Sahib berkata, bagi penarafan tahun ini, UiTM memperoleh markah keseluruhan sebanyak 85.6 dan mengekalkan kedudukan tersebut.
Menurutnya, UiTM merupakan salah satu daripada 1,963 universiti yang disenaraikan untuk penarafan tersebut, dengan peningkatan sebanyak 372 universiti berbanding tahun sebelumnya.
"Ini adalah tahun keempat UiTM berjaya mengekalkan kedudukannya dalam kalangan 200 teratas di seluruh dunia untuk pembangunan mampan.
"Justeru, kami kekal komited ke arah kecemerlangan melalui penyelidikan dan pendidikan berimpak kekal kukuh, dan kemampanan juga terus menjadi tumpuan utama UiTM dalam pelan strategik UiTM 2030 yang akan datang," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Dalam pada itu, beliau berkata,daripada lapan SDG yang disertai UiTM untuk tahun ini, Kesamaan Jantina (SDG5) menjadi SDG skor terbaik UiTM apabila ia mencapai kedudukan 46 sekali gus meletakkan UiTM pada kedudukan 50 universiti terbaik di seluruh dunia untuk SDG ini.
"Ini diikuti oleh SDG 1 'Tiada Kemiskinan' dan SDG17 'Perkongsian Matlamat', di mana UiTM berada dalam kedudukan 200 teratas di seluruh dunia.
"UiTM juga disenaraikan di antara 300 teratas untuk tiga SDG, iaitu SDG4 'Pendidikan Berkualiti', SDG7 'Tenaga Hijau dan Mampu Milik', danSDG16 'Keamanan, Keadilan dan Institusi yang Kukuh'," ujarnya.