Kerajaan tidak campur tangan kreativiti karya seni - Anwar

Iklan
Anwar ketika menyampaikan ucapan tahniah ke atas filem Sheriff selepas selesai menonton Tayangan Khas Filem Sheriff: Narko Integriti di pawagam GSC semalam. - Foto: Bernama

KUALA LUMPUR - Kerajaan tegas dengan pendirian tidak campur tangan dalam soal kreativiti dan percambahan idea serta nilai dalam karya seni tempatan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurutnya, kerajaan juga kekal mendukung prinsip kebebasan berekspresi menerusi karya anak-anak seni yang mesti disemarakkan.

Iklan
Iklan

Beliau yang berpeluang menonton filem Sheriff Narko Integriti semalam, juga melahirkan rasa kagum dengan mutu filem dan tema yang diketengahkan Syafiq Yusof selaku pengarah filem itu.

"Saya sambut baik usaha murni pihak pembikin filem ini yang menyambut ketegasan kerajaan dalam mendepani masalah rasuah dan kelemahan tatakelola," katanya menerusi hantaran di akaun Facebook hari ini.

Iklan

Anwar berkata mutu perfileman yang begitu membanggakan itu juga menyakinkan beliau bahawa industri perfileman tempatan berkeupayaan untuk bersaing, termasuk di peringkat antarabangsa.

Menerusi hantaran sama Perdana Menteri juga mengucapkan tahniah kepada seluruh pasukan yang terlibat dalam pembikinan filem Sheriff Narko Integriti.

Iklan

Semalam Anwar dan isteri Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail berpeluang menonton filem Sheriff Narko Integriti menerusi progam anjuran Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) di Putrajaya.

Turut hadir ialah Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil dan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, selain barisan pelakon seperti Zul Ariffin, Azira Shafinaz, Aaron Aziz serta Elizabeth Tan dan penganalisis jenayah Kamal Affandi Hashim. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!