RUU penggabungan MAVCOM, CAAM dibentangkan di Parlimen

Iklan
Anthony Loke pada sidang akhbar di Putrajaya pada Khamis.

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Rang Undang-Undang (RUU) Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Pembubaran) 2024 dan RUU Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (Pindaan) akan dibentangkan di pada sidang Dewan Rakyat akan datang.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, langkah itu susulan dengan keputusan Jemaah Menteri pada 11 Disember 2019, bahawa Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) akan dibubarkan dan semua fungsinya dipindahkan kepada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM).

Iklan
Iklan

"Selepas dibentangkan, ia tidak bermakna penggabungan itu berlaku serta-merta.

"Kami jangkakan ia akan mengambil masa setahun," katanya menerusi sidang akhbar di sini pada Khamis.

Iklan

Menurutnya, pembaharuan itu juga bertujuan untuk mengurangkan kerenah birokrasi dan mempertingkatkan keberkesanan serta kecekapan sistem penyampaian perkhidmatan penerbangan awam terutamanya dalam perkhidmatan pelesenan.

"Dengan penggabungan MAVCOM dan CAAM kelak, tiada lagi keperluan untuk mendapat kelulusan berasingan daripada dua agensi," jelas Anthony.

Iklan

Ujar beliau, mekanisme tunggal seperti itu digunapakai di beberapa buah negara yang mengendali sektor pengangkutan udara utama dunia seperti Amerika Syarikat, United Kingdom, Jerman, Singapura dan Republik Rakyat China.

MAVCOM ditubuhkan untuk mengawal selia perkara ekonomi yang berhubungan dengan industri penerbangan awam di Malaysia serta mengadakan peruntukan bagi fungsi dan peraturan dalam perkara yang berkaitan.

CAAM pula bertanggungjawab dalam pengawal seliaan teknikal penerbangan awam negara selaras dengan prosedur teknikal dan keselamatan yang ditetapkan oleh Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO).

Ditanya mengenai perjawatan, Anthony menjelaskan ia akan diwujudkan di bawah CAAM dan ditawarkan kepada kakitangan MAVCOM.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!