KETUA jurulatih Terengganu FC (TFC) Tomislav Steinbruckner mengingatkan anak buahnya supaya mengelak sebarang kesilapan yang boleh memberi ruang kepada Perak FC untuk menjaringkan gol dalam aksi pusingan 16 Piala FA di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) malam esok.
Pengendali kelahiran Croatia itu turut menggesa pemain supaya berusaha mendapatkan gol awal bagi meningkatkan motivasi dan mengelak daripada diheret ke masa tambahan atau penentuan penalti yang menuntut lebih ketahanan mental dan fizikal pasukan.
"Setiap perlawanan adalah sukar. Kita pelru lebih berwaspada dan bekerja keras untuk menang. Kita lakukan persiapan yang baik...say aharap kita akan menang,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan di Kompleks Sukan Gong Badak di sini.
Sementara itu, Steinbruckner berkata beberapa tonggak utama TFC termasuk penyerang Croatia, Ivan Mamut masih tidak dapat diturunkan kerana masih dibelenggu masalah kecederaan berlarutan.
Beliau berkata, Mamut masih menjalani proses pemulihan setelah mengalami kecederaan tendon achilles pada kaki kirinya ketika perlawanan pramusim menentang Sri Pahang FC.
Bagaimanapun, beliau tetap menaruh kepercayaan penuh terhadap anak buahnya yang telah melakar keputusan dalam tiga perlawanan Liga Super musim ini.
"Ivan ...kita perlu berhati-hati dengan kecederannya. Tapi Steenvoorden (Matthew) semakin baik.
"Safawi (Muhammad Safawi Rasid), Akhyar (Akhyar Rashid) dan Safwan (Safwan Mazlan) akan kembali esok (hari ini). Kita akan tengok sama ada mereka boleh bermain atau tidak,” katanya. - Bernama
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!