MELAKSANAKAN ibadah haji bagi yang berkemampuan atau istito'ah merupakan Rukun Islam kelima yang wajib ditunaikan.
Syarat istito’ah merangkumi kemampuan dari pelbagai sudut termasuk kewangan, aman dalam perjalanan, sihat tubuh badan dan tiba giliran untuk mengerjakannya.
Bagaimanapun timbul persoalan mengenai pesakit buah pinggang yang perlu menjalani rawatan hemodialisis secara berkala, apakah kewajipan tersebut telah terbatal?
Menjawab soalan tersebut, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menjelaskan, tidak wajib atas pesakit yang menghidap penyakit kronik seperti penyakit buah pinggang untuk menunaikan ibadah haji.
Menurutnya, ALLAH SWT mewajibkan umat Islam mengerjakan ibadah haji seperti firmannya dalam ayat ke-97 Surah Ali Imran:"Dan ALLAH mewajibkan manusia mengerjakan ibadah haji dengan mengunjungi Baitullah iaitu sesiapa yang mampu sampai kepadanya.”
"Imam An-Nawawi menerangkan maksud istito’ah (kemampuan) tersebut merangkumi lima perkara iaitu mempunyai kenderaan, bekalan atau kewangan yang mencukupi, aman dalam perjalanan, sihat tubuh badan dan mampu untuk sampai dalam masa haji seperti yang disebutkan dalam kitab Raudhah at-Talibin.
"Berdasarkan pernyataan di atas, ia menunjukkan bahawa kesihatan tubuh badan merupakan salah satu daripada syarat kemampuan untuk melaksanakan haji.
Hal ini juga seperti diputuskan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam pada kali ke-84 iaitu:
1 - Pesakit yang mengidap penyakit kronik yang tidak ada harapan sembuh seperti pesakit buah pinggang yang menjalani rawatan hemodialisis dan seumpamanya tidak wajib menunaikan ibadah haji.
2 - Pesakit kronik adalah wajib melaksanakan badal haji sekiranya berkemampuan daripada sudut kewangan.
3 - Sekiranya telah sembuh daripada sakit kronik, individu tersebut wajib menunaikan ibadah haji jika berkemampuan.