TAMPIN - Seorang perempuan berusia 20 tahun diarahkan ke Sekolah Henry Gurney selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan melakukan aktiviti persundalan di Mahkamah Majistret di sini pada Khamis.
Majistret Kartini Kasran membuat perintah itu selepas remaja terbabit mengaku salah mengikut Seksyen 372B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih satu tahun atau denda atau kedua-duanya.
Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didapati mencari pelanggan bagi maksud persundalan di sebuah bilik hotel di Gemas jam 2.30 petang pada 3 Mei lalu.
Berdasarkan fakta kes, remaja terbabit ditangkap selepas pekerja hotel membuat laporan polis berhubung kegagalan tertuduh membayar sewa.
Hasil pemeriksaan terhadap remaja menjumpai satu beg berwarna hitam mengandungi tiga paket kondom selain mengaku terlibat dalam aktiviti pelacuran.
Dia mengaku menawarkan perkhidmatan seks kepada beberapa lelaki berbeza melalui laman sosial.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Amirul Noor Hashimi manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Sebelum itu pada 10 Mei lalu, remaja terbabit dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Pilah atas tuduhan sama, namun Majistret Saiful Sayoti mengarahkan laporan akhlak dibentangkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) terlebih dahulu sebelum menjatuhkan hukuman.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!