ALOR SETAR - Dua lagi varieti padi baharu negara dijangka dihasilkan pada penghujung tahun 2026 dengan menggunakan titisan padi termaju.
Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Ts Dr Aminuddin Hassim berkata, varieti padi baharu tersebut diyakini lebih berdaya tahan terhadap perubahan cuaca yang tidak menentu.
Menurutnya, MOSTI dan Agensi Nuklear Malaysia terlibat secara aktif dalam kajian pembangunan varieti tersebut.
"Ia dibangunkan menerusi projek Dana Penyelidikan Strategik (SRF) bawah MOSTI dengan kerjasama Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dan beberapa universiti, antaranya Universiti Pertanian Malaysia (UPM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Promosi Bersasar ‘Technology Preview & Showcase’ (TPS) siri 2.0 zon Utara dan pelancaran Galeri Padi Nuklear di Muzium Padi pada Khamis.
Majlis pelancaran disempurnakan oleh Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Ibni Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin.
Hadir sama, Exco Pertanian, Perladangan, Pengangkutan negeri, Dzowahir Ab Ghani.
Aminuddin berkata, MOSTI berusaha untuk memenuhi permintaan keterjaminan makanan negara melalui penyelidikan dan pembangunan teknologi tempatan.
"Dalam bidang berkaitan bioteknologi, kita berikan tumpuan khusus dalam teknologi makanan dan perubatan jitu.
"Ini antara sumbangan penting Agensi Nuklear Malaysia sebagai salah satu institusi penyelidikan dan pembangunan MOSTI dalam teknologi nuklear, yang mendorong kepada usaha inovasi dan komersial yang memberikan faedah besar kepada negara,” katanya.
Menurutnya, usaha tersebut bukan hanya meningkatkan nisbah kecukupan kendiri negara (SSR) malah secara signifikan meningkatkan taraf kehidupan pesawah, selaras dengan dasar sekuriti makanan negara.
"Agensi Nuklear Malaysia juga terlibat dalam penyelidikan dan pembangunan teknologi termaju merangkumi pelbagai aplikasi, termasuk teknologi perubatan, perindustrian, pertanian dan alam sekitar.
"Membangunkan penyelidikan dalam teknologi nuklear dan teknologi berkaitan secara selamat dan cekap adalah bagi mengurangkan kebergantungan kepada teknologi luar selain menyumbang kepada kelestarian alam sekitar,” jelasnya.
Aminuddin berkata, pada tahun ini, MOSTI memberikan fokus pada beberapa bidang keutamaan termasuk pembangunan teknologi hidrogen dan pengembangan bakat kecerdasan buatan (AI), pembangunan sektor bioteknologi, pemupukan ekosistem perniagaan baharu melalui inisiatif tetingkap tunggal serta penerokaan teknologi angkasa lepas.
Dalam pada itu, tegasnya, kerajaan menyasarkan peningkatan penggunaan teknologi nuklear aman sebanyak 40 peratus dengan nilai pelaburan industri RM2.4 bilion menjelang tahun 2030.
"Ia selaras dengan pelaksanaan Dasar Teknologi Nuklear Negara (DTNN 2030) membolehkan negara memaksimumkan manfaat penggunaan teknologi nuklear secara aman untuk pembangunan sosioekonomi, meletakkan negara setanding negara maju.
"Bagi memacu pembangunan teknologi nuklear negara sehingga tahun tersebut, Agensi Nuklear Malaysia dengan kerjasama Lembaga Muzium Negeri Kedah mengadakan Program TPS 2024,” jelasnya.
Aminuddin berkata, TPS merupakan antara platform mempromosikan produk, perkhidmatan dan latihan teknologi nuklear yang aman dan selamat kepada rakyat dan industri.
"Dengan adanya program TPS, diharapkan dapat meningkatkan tahap penerimaan dan penggunaan teknologi nuklear dalam sektor-sektor berpotensi serta meningkatkan minat pelajar dalam pembelajaran sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM),” ujarnya.
Menurutnya lagi, melalui program tersebut, hasil penyelidikan dan pembangunan daripada penyelidik Nuklear Malaysia dapat diketengahkan merentasi pelbagai bidang seperti aplikasi teknologi nuklear dalam sektor agropertanian, teknologi pemprosesan sinaran, perindustrian, alam sekitar, perubatan, kesihatan dan keselamatan sinaran serta kejuruteraan nuklear.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!