KOTA BHARU - Tenaga Nasional Berhad (TNB) mengambil langkah memperkukuhkan lagi sistem rangkaian pembahagian sambutan Aidiladha.
Ketua Pegawai Rangkaian Pembahagian, Mahathir Nor Ismail berkata, antaranya memperkukuh sistem voltan rendah (MSVR), meningkatkan kapasiti alatubah (ITC) dan mewujudkan pencawang baru khusus dilaksanakan melalui Ops Adha.
"Sebanyak 323 inisiatif dikenal pasti untuk dilaksanakan merangkumi kerja menaiktaraf kapasiti alatubah pembahagian, membina pencawang baru dan projek pengukuhan sistem voltan rendah.
"Dari segi pembinaan pencawang elektrik, 114 lokasi untuk diwujudkan pencawang dikenal pasti.
"Daripada jumlah itu, 30 tapak telah diberikan kemasukan awal. Baki 84 tapak masih menghadapi isu tanah sekali gus memerlukan kerjasama semua pihak termasuk pemilik tanah dan pihak berkuasa bagi menyelesaikannya,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Menurut beliau, pada masa sama, pengguna dinasihatkan supaya sentiasa mengutamakan keselamatan ketika menggunakan peralatan elektrik termasuk memastikan semua soket dalam keadaan baik dan tidak dibebankan dengan penyesuai (adapter) berlebihan, di samping mengamalkan bijak tenaga dengan menggunakan perkakasan cekap tenaga dan secara berhemah.
Ujarnya, TNB juga menasihatkan pengguna untuk menghubungi Pusat Perkhidmatan Pelanggan TNB di talian 15454 atau Facebook TNB CareLine untuk mendapatkan bantuan sekiranya berlaku gangguan bekalan elektrik, ternampak kejanggalan atau mempunyai keraguan berkaitan pepasangan TNB.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!