KOTA KINABALU - Seorang pegawai bank di negeri ini ditahan reman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas dipercayai bersekongkol dengan sindiket yang menawarkan penjualan tanah milik Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) di Melaka.
Perintah reman selama enam hari bermula Khamis itu dikeluarkan terhadap suspek lelaki berusia 40-an oleh Majistret Wan Farrah Fariza Wan Ghazali selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Kota Kinabalu.
Sebelum itu, menurut sumber suspek dipercayai dalang bagi membantu urusan pembukaan akaun perbankan atas nama Felda yang palsu bagi membolehkan sindiket terbabit melakukan urusan transaksi jual beli dengan pembeli.
"Suspek kemudian ditahan ketika hadir bagi dirakamkan keterangannya di Pejabat SPRM Sabah sekitar jam 9.45 malam Rabu.
"Tangkapan terhadap suspek ini adalah susulan penahanan lapan individu membabitkan lima lelaki di Kuala Lumpur dan dua wanita bersama seorang lelaki yang ada antaranya berjawatan sebagai pegawai bank, broker, pengarah syarikat dan orang awam pada Selasa lalu.
"Suspek dipercayai bertindak bagi memastikan akaun perbankan atas nama Felda palsu itu dapat dibuka agar pembeli yakin bahawa urusan jual beli tanah berkenaan adalah 'genuine'," katanya.
Menurut sumber lagi, sehingga kini SPRM telah merakam percakapan 16 individu termasuk seorang pegawai kanan dan dua kakitangan Felda selain syarikat pemaju sejak Isnin lalu.
Sementara itu, Pengarah Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AML) SPRM, Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin ketika dihubungi mengesahkan tangkapan terhadap suspek kesembilan berkenaan.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA)," katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!