SHAH ALAM - Tindakan kerajaan meratifikasi Konvensyen C155 Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) merupakan satu sejarah kerana mampu menjadi pemangkin kepada aspek pematuhan majikan di seluruh negara.
Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Datuk Dr Adnan Mat berkata, ia secara tidak langsung membuktikan usaha berterusan kerajaan memantapkan pelaksanaan keselamatan dan kesihatan pekerjaan termasuk di sektor perkhidmatan awam.
"Cuepacs berharap semua kementerian, jabatan, agensi dan badan berkanun kerajaan mengambil maklum mengenai ratifikasi tersebut dengan mengambil bahagian dalam sesi pemakluman mengenai ratifikasi serta keperluan pematuhannya.
"Memperkasakan pengurusan keselamatan dan kesihatan pekerjaan dalam sektor awam bukan sahaja dapat menjamin kebajikan penjawat awam tetapi juga akan menjadi contoh baik kepada pihak industri di sektor swasta,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Media sebelum ini melaporkan, dokumen ratifikasi Konvensyen C155 ILO itu diserahkan Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong kepada Ketua Pengarah ILO, Gilbert F Houngbo semasa menghadiri Persidangan Buruh Antarabangsa ke-112 di Geneva, Switzerland.
Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) dalam satu kenyataan memaklumkan langkah itu bakal menjadi pelengkap kepada pelaksanaan dasar dan perundangan berkaitan keselamatan dan kesihatan pekerjaan negara susulan pindaan terhadap Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (Akta 514) (Pindaan) 2022 (Akta A1648) berkuat kuasa 1 Jun lepas.
Menurut kementerian itu, diharap ratifikasi tersebut dapat membawa kepada peningkatan keselamatan dan kesihatan di tempat kerja di seluruh negara.
Mengulas lanjut, Adnan berkata, tanggungjawab tersebut termasuklah melindungi warga pekerja daripada bahaya-bahaya keselamatan dan kesihatan yang berpunca daripada aktiviti pekerjaan di pelbagai sektor termasuk awam.
"Perkara ini merupakan khabar yang baik kerana Cuepacs turut bersama-sama menghadiri Persidangan Buruh Antarabangsa berkenaan dan memerhati secara dekat ratifikasi bersejarah itu.
"Cuepacs yakin langkah Kesuma meratifikasi Konvensyen C155 mampu menjadi pemangkin kepada aspek pematuhan majikan dalam memastikan keselamatan dan kesihatan pekerja masing-masing terutama dalam menerapkan budaya pencegahan,” ujarnya.