Kenderaan bawa bahan binaan patut dapat subsidi diesel

Iklan
Kenderaan yang digunakan untuk membawa bahan binaan sepatutnya layak mendapat subsidi diesel berikutan kos bahan api tersebut meningkat. (Foto hiasan)

SHAH ALAM - Kenderaan yang digunakan untuk membawa bahan binaan sepatutnya layak mendapat subsidi diesel berikutan kos bahan api tersebut meningkat.

Persatuan Pembina Induk Malaysia (MBAM) dan Persatuan Kontraktor Bumiputera Malaysia (PKBM) dalam satu kenyataan berkata, kos bahan binaan seperti produk kuari dan konkrit siap campur meningkat apabila subsidi diesel ditarik balik di Semenanjung Isnin lalu.

Iklan
Iklan

"Situasi ini secara tidak langsung menjejaskan industri kerana kebanyakan kontrak pembinaan syarikat adalah harga tetap. Kebimbangan kami bertambah apabila memikirkan mengenai bagaimana kontraktor menghadapi kesan daripada kenaikan harga diesel.

"MBAM dan PKBM bersama 40 ahli gabungan MBAM menggesa kerajaan memasukkan jenis kenderaan berkaitan yang membawa bahan seperti produk kuari dan konkrit siap campur, serta kren ke dalam sistem 'fleet card'.

Iklan

"Ini akan membolehkan keseimbangan dicapai antara mencapai objektif rasionalisasi dan mengurus kos pembinaan masa depan, terutamanya dalam kalangan kontraktor kecil,” katanya.

Kenyataan tersebut dikeluarkan oleh Presiden MBAM, Oliver Wee dan Presiden PKBM, Azman Yusoff pada Khamis.

Iklan

Sebelum ini Sinar Harian melaporkan, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan mengeluarkan notis kepada mana-mana pihak yang menaikkan harga perkhidmatan susulan pelaksanaan penyasaran subsidi diesel.

Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, kementerian mengambil perhatian serius terhadap beberapa kenyataan pihak industri berkaitan harga perkhidmatan yang akan dinaikkan.

Sementara itu, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, tiada sebab munasabah untuk aktiviti sektor logistik bertindak menaikkan harga yang boleh memberi kesan kepada rakyat susulan pelaksanaan Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS 2.0).

Ujarnya, kerajaan sedang giat memastikan penyasaran subsidi mencapai objektifnya, terutama melibatkan pelaksanaan SKDS 2.0 yang membolehkan kenderaan logistik tertentu kekal memperoleh diesel bersubsidi pada harga RM2.15 seliter.

Dalam pada itu, menerusi kenyataan syarikat berkenaan, mereka menyeru pemilik projek supaya mempertimbangkan untuk memasukkan peruntukan bagi Variasi Harga (VOP) terhadap bahan agar industri pembinaan lebih mampan.

"Walaupun keputusan untuk melaksanakan program rasionalisasi subsidi telah dibuat dan didedahkan kepada umum sejak lewat 2023, kami berharap untuk mendapatkan lebih banyak kejelasan mengenai 'soft landing' untuk logistik penting pembekal yang menyokong industri pembinaan," ujar mereka.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!