'Kaki memang menggigil, hati meronta-ronta untuk bermain' - Faisal Halim

Iklan
Faisal Halim membuat kemunculan kali pertama pada sidang media khas di Pusat Latihan Selangor FC hari ini, selepas menjadi mangsa simbahan asid pada 5 Mei lalu. Foto Bernama

TONGGAK Selangor FC, Faisal Halim tetap memiliki semangat yang kuat biarpun berdepan dugaan menjadi mangsa simbahan asid pada 5 Mei lalu.

Menurut Faisal atau lebih dikenali Mickey, dia percaya mampu untuk bangkit dan meneruskan kariernya pada masa akan datang.

Iklan
Iklan

Namun, dia berkata, tumpuannya kini adalah untuk mengharungi proses pemulihan selain meminta semua pihak mendoakan kesembuhannya.

"Sejujurnya saya amat rindukan bola sepak baik berlatih atau bermain. Bukan mudah untuk saya sekadar terlantar di rumah untuk menonton pasukan Selangor dan Malaysia bermain melalui televisyen.

Iklan

"Masih terdapat beberapa proses pemulihan yang saya perlu jalani sebelum doktor boleh mengesahkan saya boleh kembali turun ke padang," katanya dalam sidang akhbar di Pusat Latihan Selangor FC pada Khamis.

Sebelum ini, Sukan Sinar melaporkan Faisal menjadi mangsa simbahan asid yang berlaku di sebuah pusat membeli belah di Petaling Jaya menyebabkan dia mengalami kelecuran tahap empat.

Iklan

Pemain sayap kebangsaan itu juga perlu menjalani empat pembedahan untuk merawat luka kelecurannya itu sebelum dibenarkan keluar dari hospital pada 25 Mei lalu.

Selepas itu, Faisal menjalani proses pemulihan di lokasi dirahsiakan selain kawalan ketat bagi memastikan keselamatannya.

Dalam pada itu, Faisal turut mengharapkan agar pelaku insiden tersebut dapat ditangkap dengan segera.

"Namun, saya mengharapkan semua orang tidak membuat spekulasi kerana perkara ini masih dalam siasatan," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!