KUALA LUMPUR - Seramai 329 banduan dan penghuni pusat koreksional di tiga negeri akan menyambut Aidiladha bersama keluarga tersayang melalui program Pelepasan Bantuan Secara Lesen (PBSL) Ihsan Madani (Kepulangan Yang Dinanti) hari ini.
Di SABAH, Pengarah Penjara Sabah dan Labuan, Nora Musa berkata, seramai 196 orang menerima pelepasan melalui PBSL dan daripada jumlah itu, 64 orang bebas berlesen (OBB) adalah dari penjara Kota Kinabalu.
Beliau berkata, OBB kecuali tahanan rumah, akan dipastikan mempunyai pekerjaan bagi memperoleh pendapatan untuk diri dan juga keluarga mereka, di samping sebagai langkah penting dalam usaha mengintegrasikan mereka ke dalam masyarakat.
Beliau turut menasihati OBB supaya tidak sama sekali kembali ke penjara dengan memastikan diri mereka bersih daripada sebarang jenayah, dan menjadi anggota masyarakat yang produktif.
Di TERENGGANU, Pengarah Penjara negeri Hamid Taha berkata, 118 banduan diberi pelepasan melalui PBSL Ihsan Madani (Kepulangan Yang Dinanti).
Hamid berkata, sejak PBSL diperkenalkan, sejumlah 1,500 banduan telah dibebaskan secara lesen dengan hanya lima daripadanya kembali dimasukkan ke penjara.
"Kejayaan ini disebabkan peluang pekerjaan yang ada buat banduan ini hasil kerjasama keluarga dan majikan, 90 peratus daripada mereka telah bekerja dan dapat menyara keluarga,” katanya menambah bahawa kebanyakan yang dibebaskan adalah pesalah jenayah dadah.
Sementara itu, di PERLIS, Pengarah Penjara negeri, Raja Nazril Azman Raja Azam Iskandar berkata, 15 penghuni Pusat Koreksional Perlis (Jabatan Penjara Malaysia) dibebaskan menerusi PBSL Ihsan Madani (Kepulangan Yang Dinanti).
"Kesemua penghuni yang dibebaskan berlesen ini akan dipantau oleh Parol daerah masing-masing, mereka tidak perlu ke Parol tetapi pihak Parol itu sendiri akan datang ke rumah, serta mereka hanya dibenarkan keluar dalam tempoh 8 pagi hingga 5 petang," katanya. - Bernama
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!