Remaja OKU jadi buruh paksa diselamatkan

Iklan
Amran

KUALA PILAH - Seorang remaja lelaki yang merupakan orang kurang upaya (OKU) fizikal diselamatkan selepas disyaki menjadi mangsa eksploitasi bagi membuat kerja mengumpul barang lusuh, di sini pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintenden Amran Mohd Gani berkata, remaja berusia 14 tahun diselamatkan dalam serbuan di sebuah rumah di daerah ini kira-kira jam 5.30 petang oleh Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Kuala Pilah.

Iklan
Iklan

"Bertindak atas maklumat pemerdagangan manusia eksploitasi buruh paksa kanak-kanak, sepasukan pegawai dan anggota membuat serbuan di sebuah rumah di dalam kawasan pentadbiran Kuala Pilah.

"Hasil serbuan, kami membuat tangkapan ke atas seorang lelaki tempatan yang menyelia serta mengawal seorang kanak-kanak warganegara tempatan untuk membuat kerja mengumpul barangan lusuh," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Iklan

Ujarnya, remaja itu OKU fizikal yang mana kaki kanannya bengkok kemudian diselamatkan dan menjalani pemeriksaan kesihatan di klinik kesihatan.

"Hasil risikan lanjut kami berjaya membuat tangkapan ke atas seorang lagi lelaki tempatan iaitu individu yang menggaji mangsa terbabit di daerah ini pada hari sama," katanya.

Iklan

Jelas beliau, permohonan reman ke atas kedua-dua tangkapan berusia 27 dan 23 tahun itu diluluskan selama tujuh hari manakala mangsa akan ditempatkan di sebuah rumah perlindungan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 14 Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (Atipsom) 2007," katanya.