Pendaki maut 200 meter dari puncak Gunung Kinabalu

Iklan
Pasukan Mosar mengusung mayat mangsa untuk dihantar ke Hospital Ranau. Foto ihsan PDRM

SHAH ALAM - Seorang lelaki tempatan berusia 52 tahun rebah dan tidak sedarkan diri sebelum disahkan meninggal dunia sewaktu berada dalam jarak 200 meter dari puncak Gunung Kinabalu pada 11 Jun lalu.

Memetik laporan The Star, lelaki tersebut melakukan ekspedisi itu bersama isterinya termasuk sembilan lagi pendaki dan tiga malim gunung dalam kumpulan mereka.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Daerah Ranau, Deputi Superintendan Simiun Lomudin berkata, kejadian itu berlaku pada jam 5.30 pagi.

Menurutnya, sewaktu kejadian tersebut berlaku, malim gunung cuba memberi bantuan pernafasan (CPR) dengan kadar segera namun usaha itu gagal menyelamatkan mangsa.

Iklan

"Pasukan Bomba Bantuan Mountain Search and Rescue (Mosar) kemudian telah membawa mangsa turun ke pintu pagar Timpohon iaitu tempat permulaan pendakian gunung.

"Namun seorang pegawai perubatan dari Klinik Kesihatan Kundasang telah mengesahkan pendaki itu meninggal dunia,” katanya pada Khamis.

Iklan

Mengulas lanjut, menurut Simiun, pihak polis dimaklumkan mengenai perkara itu pada jam 11 pagi Selasa dan kes tersebut diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Tambah beliau, mayat telah dihantar ke bahagian forensik di Hospital Ranau untuk bedah siasat.

"Mereka yang merancang untuk mendaki gunung dinasihatkan untuk berada dalam keadaan sihat bagi mengelak kejadian tidak diingini,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!