ISKANDAR PUTERI - Seorang kanak-kanak perempuan ditemukan lemas selepas dilaporkan terjatuh ke dalam Sungai Gelang Patah dari Jeti Kampung Dapur Arang di sini, petang Khamis.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M Kumarasan berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 4.40 petang daripada seorang lelaki.
Menurutnya, kejadian berlaku ketika mangsa, Nur Aqisyah Abdullah, 10, bersama adik dan rakan perempuan bermain di jeti tersebut.
"Ketika sedang duduk di jeti, mangsa telah tergelincir dan jatuh ke dalam Sungai Gelang Patah.
"Pihak bomba dan Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) telah ditugaskan mencari mangsa dan telah menemui mayat mangsa pada jarak lima meter dari jeti di kedalaman tiga meter dari paras sungai," katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, mayat mangsa telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Sultanah Aminah (HSA) untuk bedah siasat.
Sementara itu, Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan Khas Untuk Penyandang (KUP), Saifulizam Salleh berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pada jam 5 petang.
Katanya, satu pasukan keluaran operasi (PKO) dengan sembilan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Iskandar Puteri telah dihantar ke lokasi.
"Operasi SAR (mencari dan menyelamat) dilakukan di sekitar lokasi kejadian iaitu di Jeti Kampung Dapur Arang.
"Setelah empat jam operasi digerakkan, mangsa ditemui pada jam 9.07 malam tadi," katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!