MAKKAH -"Saya ada dua jam sebelum arwah pergi. Saya juga sempat pergi ke depan Kaabah buat tawaf dan doa untuk pengakhiran baik untuk isteri. Apabila selesai tujuh pusingan, saya dapat panggilan depan Kaabah yang memaklumkan isteri telah pergi,” kata suami kepada jemaah haji yang meninggal dunia pada 10 Jun lalu.
Zuraida Mohd Haris, 37, meninggal dunia disebabkan pendarahan otak sebelah kanan selepas enam hari mendapatkan rawatan.
Mohd Azmil Abdul Hanid, 38, berkata, dia dan isteri mengalami demam selepas mengerjakan umrah kedua, namun isterinya masih tidak pulih sehingga terpaksa dibawa ke klinik maktab dan kemudiannya dikejarkan ke Hospital King AbdulAziz.
"Masa itu, isteri minta saya temankan sebelah dia dan saya duduk dalam ambulans. Ketika itu isteri dalam keadaan tidak sedar, doktor maklumkan mahu buat 'scan' di kepala.
"Keesokan harinya, saya dimaklumkan oleh doktor pakar, yang buat saya sedih sangat bahawa jantung isteri terhenti enam minit, saya terkedu. Doktor terpaksa buat pembedahan segera di otak untuk keluarkan cecair, kalau tidak otak akan sempit,” katanya.
Mohd Azmil berkata, doktor memaklumkan jika dalam kes biasa pesakit akan sembuh dalam masa 24 jam, namun berbeza dengan keadaan isterinya yang masih koma.
"Sepanjang dia koma dalam enam hari, saya sentiasa melawat dan baca doa supaya dia pulih. Tetapi bila doktor kata bacaan tekanan darah makin rendah, saya dah mula reda. Namun, saya cuba saat akhir. Saya berterima kasih kepada Dr Yusof dan Dr Azharian,” katanya.
Pasangan ini sudah 12 tahun mendirikan rumah tangga dan dikurniakan seorang anak perempuan berusia 9 tahun.
"Selesai tawaf terakhir itu, saya tadah tangan kerana bagi saya ALLAH sebaik-baik perancang. Andai kata ALLAH pulihkan isteri saya itu alhamdulillah. Tetapi jika ALLAH lebih sayangkan isteri saya, Tanah Suci Makkah ini adalah sebaik-baik tempat untuk arwah isteri saya,” katanya.
Mohd Azmil yang berasal dari Marang, Terengganu berterima kasih kepada semua pihak yang melancarkan proses persemadian arwah isterinya dan dia turut diberi peluang turun ke liang lahad untuk memberikan penghormatan terakhir.
"Semua diuruskan termasuk mandikan jenazah. Saya juga ikut daripada rumah mayat ke Masjidil Haram dan solat jenazah sampailah ke Tanah Perkuburan Syuhada-Al-Haram, saya diberi peluang turun ke liang lahad, sambut isteri dan letakkan.
"Memang sayulah ketika masuk dalam van dan tinggalkan tanah perkuburan. Saya harap satu masa, ada peluang saya dapat melawat kubur isteri saya,” katanya.
Mohd Azmil berkata, isterinya yang berasal dari Tambun, Perak adalah seorang guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) yang baik dan disenangi oleh murid dan juga pihak sekolah.
"Saya percaya isteri saya seorang yang baik. Dia seorang ustazah yang mengajar agama sebagai guru KAFA. Saya dengar ketika isteri saya nak berangkat ke Tanah Suci, ramai murid dia menangis dan pihak sekolah juga ada buat bacaan Yasin,” katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!