Azeem buru keputusan terbaik tanpa tekanan di Kuantan

Iklan
Muhammad Azeem

PELARI pecut negara, Muhammad Azeem Fahmi mengakui tidak meletakkan sebarang sasaran masa pada Kejohanan Olahraga Terbuka Cahya Mata Malaysia 2024 yang berlangsung di Stadium Darul Makmur di sini bermula Jumaat hingga Ahad ini.

Atlet kelahiran Teluk Intan, Perak itu sebaliknya berkata, dia hanya perlu fokus, tenang dan bebas sebarang tekanan untuk mencari keputusan terbaik.

Iklan
Iklan

Menurutnya, semua berada dalam keadaan baik dan dia bersedia sepenuhnya untuk berlari pada kejohanan itu.

"Saya perlu kekal fokus dan tenang. Insya-ALLAH saya yakin dapat lari dan mendapat keputusan terbaik minggu ini," katanya ketika ditemui selepas sesi latihan di Stadium Darul Makmur di sini pada Khamis.

Iklan
Muhammad Azeem ketika menjalani latihan di Stadium Darul Makmur pada Khamis.

Muhammad Azeem berkata, cabaran terbesar untuk kejohanan itu adalah dirinya sendiri.

"Pada masa sama, saingan pasti ada kerana kita tahu Malaysia banyak pelari pecut yang bagus bukan sahaja dalam kalangan atlet senior tapi juga atlet muda.

Iklan

"Jadi sudah pasti mereka akan beri cabaran kepada saya namun secara jujurnya cabaran terbesar bagi saya minggu ini adalah diri saya sendiri," ujarnya yang akan menyertai acara 100 meter dan 200 meter pada kejohanan itu.

Muhammad Azeem berkata, semua orang mungkin mengharapkan 'sesuatu' agar dia layak secara merit ke Sukan Olimpik Paris 2024 nanti.

"Itu yang semua orang harapkan tapi saya ada matlamat sendiri dan tahu apa yang boleh lakukan minggu ini," katanya.

Mohd Azeem menjulang nama Malaysia apabila merangkul pingat emas acara 4×100 meter (m) dalam saingan Tom Jones Memorial Invitational di Amerika Syarikat (AS) pada Ahad.

Kejohanan anjuran Persatuan Olahraga Kolej Kebangsaan AS (NCAA) itu berlangsung di Gainesville, Florida menyaksikan pelari itu menjadi sebahagian daripada kuartet 4x100m Universiti Auburn.

Pelajar Universiti Auburn itu akan menyertai Terbuka Kazakhstan (23-24 Jun) dan Sukan Universiti ASEAN (AUG) 2024 di Surabaya-Malang, Indonesia pada 2 hingga 5 Julai.

Kejohanan Olahraga Terbuka Cahya Mata Malaysia 2024 disertai 578 atlet dari sembilan negara terdiri Malaysia, Rusia, Singapura, Australia, Myanmar, Bangladesh, Indonesia, India dan Filipina.