BERDASARKAN siasatan polis, kes salah laku dalam kalangan peguam yang terlibat menguruskan jual beli tanah adalah membimbangkan.
Mana tidaknya, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) baru-baru ini mendedahkan sedang menyiasat beberapa kes peguam yang disyaki melakukan penipuan dalam transaksi jual beli tanah.
Sudah tentu, jika urusan membabitkan tanah, nilainya adalah sangat tinggi mencecah ratusan ribu dan jutaan ringgit.
Ada beberapa kes menarik yang sedang disiasat JSJK babit kes penipuan ini antaranya kes seorang peguam di Kuala Lumpur yang dilaporkan terlibat dengan tiga kes pecah amanah jenayah melibatkan nilai kerugian keseluruhan RM3.3 juta.
Kes pertama dilaporkan pada tahun 2018 dan peguam ini didakwa telah menggelapkan wang anak guamnya berjumlah RM525,538.80 yang sepatutnya dibayar kepada Jabatan Insolvensi Malaysia.
Kes kedua dilaporkan pada 2020 melibatkan nilai kerugian RM91,576.00. Peguam tersebut didakwa telah menyeleweng wang jualan hartanah milik anak guamnya namun kes diklasifikasikantiada tindakan lanjut (NFA) pada tahun 2021 setelah pengadu menerima kembali wang hasil jualan tersebut.
Seterusnya pada tahun 2023, satu lagi laporan polis telah diterima berkaitan peguam sama yang didakwa terlibat dengan penyelewengan sejumlah RM2.7 juta wang anak guamnya yang sepatutnya digunakan dalam urusan pembelian hartanah.
Secara peribadinya, kes sebegini akan memberi impak negatif kepada firma guaman.
Bukan itu sahaja, mangsa juga akan mengalami tekanan emosi.
Memetik kenyataan yang dibuat Pengarah JSJK Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf, ada kes sebegini yang disiasat iaitu dalang utama di sebalik kes tersebut bukanlah seorang peguam, namun individu ini didapati telah menggunakan serta menggajikan beberapa peguam sebenar untuk menubuhkan firma guaman yang sah bagi pihaknya.
Malahan, individu ini juga didapati mempunyai akses terhadap dana daripada akaun amanah pelanggan firma guaman tersebut.
Justeru, kelemahan ini wajar dikaji dan ditambah baik oleh pihak Majlis Peguam.
Pihak polis juga mencadangkan agar anak guam yang berurusan dengan firma guaman juga dijadikan penandatangan bagi sebarang urusan akaun tersebut agar transaksi kewangan berkaitan dapat dilaksanakan dengan lebih telus dan terjamin.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!