LAGU berjudul Yennode Macha nyanyian Zubir Khan yang tular dan menerima pujian warga maya baru-baru ini membuktikan Malaysia merupakan negara majmuk yang harmoni.
Ini kerana lagu berkenaan bukan sahaja diterima baik oleh rakyat berbangsa India, malah bangsa Melayu dan semua warga Malaysia yang lain juga memuji penyanyi terbabit biar pun dia berbangsa Melayu.
Sebelum ini, lagu yang diberi tajuk Amelina nyanyian Santesh juga pernah menimbulkan aura yang sama.
Merak Jalanan berasakan dua lagu ini sangat dekat dengan masyarakat tidak kira sama ada dinyanyikan oleh penyanyi asal atau orang lain.
Ada juga lagu ini dinyanyikan semula dengan pelbagai genre selain kanak-kanak juga mengikutinya.
Rasa bangga jugalah apabila anak Melayu pandai nyanyi lagu Tamil (Yennode Macha).
Apa yang diceritakan oleh penyanyinya, Zubir Khan, zamannya membesar di kawasan estet dengan masyarakat India banyak mengajarnya mengenai pengetahuan berbahasa Tamil.
Merak Jalanan berasakan hubungan antara kaum di Malaysia menjadi semakin akrab apabila ada lagu yang menyatukan berbilang bangsa.
Bukan apa, bagi Merak Jalanan, isu perkauman di Malaysia perlu ditangani sebaiknya.
Kita tak mahulah bergaduh, bertikam lidah atas pelbagai sebab yang remeh macam isu politik, pertengkaran dan lain-lain. Benda ini kalau berlaku sebenarnya boleh diselesaikan dengan baik, bukan bertindak mengikut warna kulit.
Sepatutnya zaman moden ini, isu perkauman tidaklah harus berlaku dan diharap ia tidak akan terus berlaku.
Merak Jalanan seronok bila lihat kedai makan atau warung ada kehadiran semua bangsa. Situlah lepak makan minum.
Betullah orang dulu-dulu kata bersatu teguh, bercerai roboh.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!