SHAH ALAM - Harga barangan bagi sektor pembinaan meningkat hampir 30 peratus susulan pelaksanaan penyasaran subsidi diesel baru-baru ini.
Presiden Persatuan Kontraktor Bumiputera Malaysia (PKBM), Datuk Azman Yusoff berkata, peningkatan tersebut boleh dikatakan sebagai yang tertinggi dalam sejarah, malah pihak pembekal turut menetapkan harga-harga yang baharu bagi barangan pembinaan sejak Isnin lalu.
"Pembekal juga mengugut tidak akan menghantar bekalan sekiranya cadangan harga baharu tidak diikuti.
"Pihak kami merayu agar agensi kerajaan, Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) pantau segera pembekal yang ambil kesempatan atas kenaikan diesel itu,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.
Tambah Azman, golongan kontraktor G1 hingga G7 antara kumpulan yang paling terkesan akibat situasi peningkatan harga barangan tersebut.
Menurutnya, kos pembinaan pasti akan meningkat dan dikhuatiri beberapa projek juga bakal lewat siap sekali gus menyebabkan kontraktor mengalami kerugian besar.
"Selain itu, berlaku juga kenaikan sewaan perkakasan mesin seperti jentera berat, jentera eskavator, jengkaut dan penurap, bagi projek infrastruktur.
"Harga bahan mentah iaitu campuran siap konkrit dan bahan- bahan binaan untuk kerja bangunan dan jalan turut meningkat sebanyak 30 peratus,” ujarnya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!