Rokok seludup bernilai lebih RM600,000 ditinggal dalam lori

Iklan
Lori yang digunakan untuk seludup rokok. Foto JKDM Terengganu. Gambar kecil: Rokok yang diseludup dalam lori.

BESUT - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Terengganu merampas 850,000 batang rokok seludup hasil serbuan ke atas sebuah lori yang tinggalkan di lokasi bersebelahan Bangunan Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut, di sini pada 9 Jun lepas.

Pengarah JKDM Terengganu, Mohd Nadzri Ariffin berkata, rampasan itu melibatkan nilai berjumlah RM682,550 termasuk cukai.

"Bertindak atas maklumat risikan Pasukan Zon Risik Timur dan Pasukan COBRA, pasukan JKDM Terengganu melakukan serbuan di lokasi bersebelahan Bangunan Pusat Khidmat DUN Kuala Besut.

Iklan
Iklan

"Pasukan Operasi Bahagian Penguatkuasaan JKDM Terengganu menyita sebuah lori bermuatan kotak-kotak rokok yang disyaki barang larangan import di Kuala Besut kira-kira jam 7 pagi 9 Jun lepas," katanya dalam kenyataan di sini pada Jumaat.

Mengulas lanjut, Mohd Nadzri berkata, pasukanberjaya menyita 850,000 batang rokok yang dianggarkan bernilai RM110,500 melibatkan jumlah cukai sebanyak RM572,050.

Iklan

Katanya, lori beserta eksibit rokok kes dibawa ke Pejabat Kastam Cawangan Penguatkuasaan Stesen Kemaman, JKDM Terengganu untuk siasatan lanjut

Dalam pada itu, Mohd Nadzri menyatakan modus operandi dijalankan pihak sindiket adalah dengan menggunakan lori jenis 'bonded' bagi pengedaran rokok seludup ke pasaran luar Terengganu.

Iklan

Katanya, kes itu disiasat bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.

Mohd Nadzri berkata, orang ramai digesa membantu pihak JKDM memerangi jenayah penyeludupan terutama rokok, minuman keras, mercun, dadah, kenderaan dan lain-lain barang tidak berkastam selain dinasihatkan tidak membabitkan diri dengan aktiviti tersebut.

"Kita juga menyeru kepada orang awam untuk memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan dengan menghubungi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau Pejabat Kastam yang terdekat di semua negeri.

"Pihak JKDM juga memberi jaminan bahawa identiti setiap pemberi maklumat adalah dirahsiakan," ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!